KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak berhasrat untuk menswastakan pengurusan dan operasi perdagangan karbon buat masa ini, kata Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sebaliknya, kata beliau, kerajaan sedang membangunkan platform tunggal perdagangan karbon peringkat domestik.

Menurutnya, platform itu merupakan kerjasama melibatkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Kementerian Kewangan dan Bursa Malaysia.

“Platform pasaran karbon domestik ini dibangunkan secara berfasa di mana fasa awal akan melibatkan pelaksanaan pasaran karbon secara sukarela (VCM) sebelum peralihan kepada Skim Perdagangan Karbon Peringkat Domestik (DETS).

“Sebagaimana semua sedia maklum, Bursa Malaysia adalah merupakan satu entiti berstatus Syarikat Berhad bawah Kementerian Kewangan.

“Bursa Malaysia  dipilih bagi membangunkan VCM Domestik dan DETS disebabkan pengalaman Bursa Malaysia dalam melaksanakan operasi pasaran modal (capital market) seperti ekuiti dan bon,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah beliau, Bursa Malaysia juga telah mempunyai keupayaan teknikal dan perundangan untuk menjadi entiti pelaksana DETS.

Tiada hasrat swastakan operasi perdagangan karbon

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) yang meminta beliau menjelaskan perkembangan terkini berhubung dagangan karbon.

“Pelaksanaan fasa-fasa DETS pula adalah berpandukan kepada prinsip pasaran terbuka serta permintaan dan penawaran pasaran dan akan memudahkan akses pasaran karbon domestik oleh entiti yang berpotensi seperti syarikat swasta dan Kerajaan Negeri,” ujarnya.

Katanya lagi, dagangan karbon di peringkat domestik akan dilaksanakan secara berfasa bermula penghujung tahun 2022.

Kerajaan sedar tiga kekangan isu perdagangan karbon