Kerajaan tidak meminggirkan masyarakat Orang Asli dalam memberikan bantuan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ujar Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Antaranya, Bantuan Bakul Makanan yang telah diagihkan kepada masyarakat itu sejak PKP dikuatkuasakan.

"Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) telah melaksanakan agihan Bantuan Bakul Makanan kepada masyarakat Orang Asli sejak berkuatkuasanya PKP.

"Bantuan fasa pertama dari 2 hingga 10 April, diagihkan kepada sejumlah 49,670 Ketua Isi Rumah di 853 buah perkampungan Orang Asli di seluruh negara bernilai RM5 juta. Bantuan fasa kedua akan bermula pada 10 April 2020 dengan penambahan penerima kepada 55,000 Ketua Isi Rumah melibatkan peruntukan RM6 juta," katanya dalam sidang media di sini pada Khamis.

Beliau mengulas dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa ada masyarakat Orang Asli yang tidak mendapat bekalan makanan sepanjang PKP.

Tambahnya, bantuan fasa kedua itu merupakan sambungan daripada agihan fasa pertama dengan penambahan kepada keluarga yang berpindah randah dan tinggal di kampung tambahan.


Sementara itu Ismail Sabri berkata mereka yang tidak cukup bekalan makanan dinasihat membuat aduan kepada pemimpin masyarakat setempat masing-masing.

Beliau menjelaskan, perkara itu kemudian akan dibawa ke peringkat atasan untuk tindakan selanjutnya.

"Kerajaan ini ada strukturnya. Di kampung ada Ketua Kampung, pemimpin masyarakat dan sebagainya. Di daerah dan sebagainya juga. Jadi kerajaan harap supaya tidak timbul isu bekalan makanan.

"Sila adukan masalah itu kepada pemimpin masyarakat setempat di kampung dan daerah masing-masing. Jika di daerah terus ke JKN di daerah ataupun mengadu di JKN daerah yang dipengerusikan pegawai daerah. Ia kemudian akan diadukan ke peringkat lebih tinggi," ujarnya.