PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju untuk menubuhkan Pusat Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Negara bagi memperkasa dan mempergiat program-program serta memantau kemajuan SDG negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, Pusat SDG Negara itu diletakkan di bawah Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Ismail Sabri memberitahu, agenda pembangunan mampan memerlukan penglibatan dan usaha gigih yang menyeluruh serta inklusif daripada semua pihak.

Jelas beliau, ia bertujuan agar tahap kesedaran seluruh Keluarga Malaysia di peringkat akar umbi dan syarikat-syarikat swasta ditingkatkan.

"Mesyuarat juga bersetuju dengan penyediaan Laporan Semakan Tempatan (VLR) di peringkat bandaran dan daerah oleh Pihak Berkuasa  Tempatan (PBT) dan Kerajaan-kerajaan negeri.

"Sekurang-kurangnya satu laporan akan dihasilkan oleh setiap negeri.

"Setiap negeri digalakkan menyediakan laporan ini sebagai panduan dalam memantau kemajuan Malaysia ke arah pertumbuhan pembangunan negara bagi mengimbangi aspek sosial, alam sekitar dan ekonomi," katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis SDG.

Ismail Sabri juga memaklumkan, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) diminta supaya segera memuktamadkan rangka kerja pasaran karbon pada penghujung tahun ini bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara rendah karbon.

Beliau juga menegaskan kerajaan komited untuk mencapai Agenda 2030 dan memperkukuhkan tindakan mencapai 17 SDG bagi menjadi negara mampan menjelang 2030 dengan melibatkan seluruh Keluarga Malaysia dalam arus pembangunan sosioekonomi negara.