GARA-GARA ingin membeli kad prabayar internet untuk permainan komputer dalam talian, seorang remaja sanggup mencuri wang serta membakar rumah jirannya dalam satu kejadian di Jawa Timur, Indonesia.

Menurut laporan portal berita Tribunnews, suspek berusia 15 tahun itu berjaya diberkas penduduk setempat semasa cuba melarikan dalam kejadian pada jam 6 petang Sabtu di Desa Jambangan, Kabupaten Candi, Kabupaten Sidoarjo.

Suspek dipercayai telah memasuki rumah terbabit melalui tingkap sebelum membakar kasut di rumah berkenaan selepas gagal mencuri wang.

Remaja berkenaan kemudian cuba melarikan diri daripada rumah terbabit namun berjaya ditangkap oleh penduduk setempat sebelum diserahkan kepada polis Sidoarjo, Jawa Timur.

Api terus marak sehingga menyebabkan keseluruhan rumah berkenaan hangus dijilat api.

Mangsa tidak berada di rumah ketika kejadian.

Menurut polis, remaja berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes kecurian di rumah sama melibatkan wang sebanyak 1 juta rupiah (RM300).

Suspek juga merupakan jiran kepada mangsa dan dipercayai lakukan perbuatan itu kerana tidak mempunyai wang untuk membeli kad prabayar internet bagi meneruskan permainan dalam talian.

Selain itu, suspek juga dikaitkan dengan kes mencuri wang tabung derma.

Bapa suspek dikatakan telah memohon maaf di atas kejadian tersebut dan sanggup membayar ganti rugi kepada mangsa.