LANGKAWI: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan bahawa kenyataannya yang menyifatkan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri paling teruk dalam sejarah Malaysia adalah bersandarkan 'kerosakan' yang dilakukan pemimpin terbabit dalam menerajui kerajaan.

Dr Mahathir mendakwa antara kerosakan dilakukan Perdana Menteri Malaysia ke-6 itu adalah menjadikan kerajaan Malaysia sebagai sebuah kerajaan yang bergantung kepada amalan rasuah selain mengamalkan politik wang dalam meraih sokongan individu tertentu.

Beliau turut menyatakan bahawa Najib juga menjadi individu yang telah menghancurkan parti UMNO selain menjadi penyebab utama dalam kekalahan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14).

"Najib (telah) hancurkan parti (UMNO), parti yang dulu saya jadi Presiden, yang ditubuhkan (sebelum itu) oleh bapanya, dia yang menjahanamkan (UMNO).

"Oleh kerana nak ambil duit hendak beli orang, kerajaan Malaysia pun rosak kerana Najib.

"Dia (membawa kerajaan ketika ini) menjadi satu kerajaan yang bergantung kepada rasuah.

"Kekalahan BN (pada PRU-14 juga) disebabkan oleh Najib, pasal dia (wujud) dengan BN (dan) dia jadi ketua (Pengerusi) BN dalam pilihan raya dan orang semua nak tolak Najib, (jadi mereka) kena tolak BN.

Tun Dr Mahathir berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawih, di Masjid Al-Ehsan Temonyong, Langkawi pada Jumaat.

Selasa lalu, bekas Perdana Menteri ke-4 dan ke-7 itu menyifatkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia paling teruk dalam sejarah negara ini.

Menerusi laporan MalaysiaNow, Dr Mahathir turut mendakwa bahawa mana-mana kerajaan yang dianggotai oleh Ahli Parlimen Pekan itu akan menjadi teruk.

Menurutnya, Najib turut diketahui sebagai seorang penjenayah yang terlibat dengan pengubahan wang haram dan mencuri wang.

Dalam pada itu, Najib menerusi kenyataan balas kepada kritikan berkenaan menyatakan bahawa beliau dianggap teruk bagi kumpulan tertentu dan kroni mereka.

Beliau turut menyenaraikan pelbagai usaha yang telah dilakukan sepanjang pentadbirannya dalam meringankan beban rakyat dan memajukan ekonomi negara termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Baucar Buku, Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), serta bantuan kepada nelayan.