KUANTAN: Seorang kerani yang ditipu sindiket Parcel Scam kerugian RM40,000 akibat percaya dengan janji manis kenalan di Facebook Sabtu lalu.

Kejadian bermula pada 27 Jun lalu apabila wanita berusia 44 tahun itu berkenalan dengan seorang lelaki dikenali sebagai Muhammad Daniel melalui media sosial itu.

Lelaki terbabit mendakwa bekerja sebagai juruterbang dan menetap United Kingdom serta memaklumkan menyukai mangsa, sebelum mereka bertukar nombor telefon.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, selepas perkenalan itu, mereka kerap berhubung melalui telefon dan suspek kemudian menyatakan hasrat mengirimkan hadiah sebagai tanda persahabatan.

Menurutnya, suspek memberitahu mangsa wang sebanyak AS$30,000 turut diselitkan di dalam bungkusan hadiah yang sudah dikirimkan itu.

"Tidak berapa lama selepas itu, mangsa menerima mesej melalui sistem pesanan ringkas (SMS) daripada syarikat penghantaran memaklumkan barang yang di kirimkan daripada United Kingdom atas nama Muhammad Daniel sudah sampai.

"Mangsa diminta membuat pembayaran bagi caj penghantaran tempatan sebanyak RM1,500 dan dia membuat pembayaran terbabit," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau memberitahu, suspek kemudian mengesahkan wang tersebut sudah diterima pihaknya namun imbas barangan yang dibuat mendapati terdapat wang tunai dalam bungkusan itu.

Jelasnya, justeru mangsa diminta membayar sebanyak RM3,500.00 sebagai sijil insurans wang.

Mohd Wazir menambah, mangsa diminta membayar RM15,000 bagi pelbagai proses seperti 'police stamp' bersama pihak mahkamah dan pengesahan bungkusan daripada pihak kerajaan Malaysia

"Tanpa berfikir panjang mangsa memasukkan wang yang diminta ke dalam akaun yang diberikan suspek.

"Selepas itu, suspek sekali lagi menyuruh mangsa memasukkan wang sebanyak RM20,000 bagi melengkapkan proses untuk pengambilan hadiah berkenan.

"Seterusnya, suspek meminta mangsa memasukkan lagi wang RM30,000 untuk mendapatkan tandatangan ketua hakim, namun mangsa enggan berbuat demikian kerana sudah berasa ditipu," ujarnya.

Sehubungan itu, Mohd Wazir berkata, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan pada petang Ahad dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel asal di Sinar Harian: Kerani rugi RM40,000 terpedaya janji manis di Facebook