Kereta dipandu tiba-tiba terbakar, pemandu sempat selamatkan diri

Dewi Nur Harasha Alias
Mei 13, 2022 04:33 MYT
Tular rakaman gambar dan video di media sosial yang memaparkan sebuah kereta terbakar dalam keadaan api sedang marak di Lebuhraya Utara Selatan. - Foto PDRM
NIBONG TEBAL: Seorang lelaki berdepan detik cemas selepas kenderaan dipandunya terbakar di Kilometer 162.2 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan dekat Nibong Tebal, Pulau Pinang malam tadi.
Bagaimanapun pemandu berusia 33 tahun yang memandu kereta jenis Toyota Camry sempat menyelamatkan diri dan keluar dari kenderaannya selepas menyedari berlaku kebakaran pada bahagian hadapan keretanya.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 7.50 malam semasa lelaki itu dalam perjalanan dari arah Butterworth menuju ke Nibong Tebal.
"Sebaik tiba dil okasi kejadian pemandu menyedari bahagian enjin keretanya mula terbakar lalu dia terus berhentikan kereta di lorong kecemasan sebelum keluar dari kenderaan.
"Api marak namun telah berjaya dipadamkan oleh pihak bomba manakala pemandu itu tidak mengalami kecederaan," kata Chong Chern ketika dihubungi pada Jumaat.
Terdahulu, tular rakaman gambar dan video di media sosial yang memaparkan sebuah kereta terbakar dalam keadaan api sedang marak di Lebuhraya Utara Selatan yang dirakam pemandu lain yang melalui jalan berkenaan.
#kereta terbakar #Lebuhraya Utara Selatan #Nibong Tebal #Seberang Perai #bomba #PDRM