Tidak banyak pilihan bagi pembeli di Malaysia yang inginkan sebuah model premium atau mewah yang juga sangat cekap dari segi penggunaan bahan api. Oleh itu, model E 300 BlueTEC Hybrid yang baharu diperkenalkan oleh Mercedes Benz Malaysia memang menarik minat kami, terutamanya kadar penggunaan diesel yang didakwa boleh mencapai serendah 3.8 liter/100km.
Ya, anda tidak tersalah baca ayat sebelum ini; model Mercedes ini membakar diesel, bukannya petrol. Begitulah bagaimana ia mencapai kecekapan sebaik itu. Dan seperti mana-mana enjin diesel, output tork adalah tinggi – 500Nm yang hadir diantara 1,600rpm hingga 1,800rpm.
Untuk tambahan, Mercedes mendakwa bahawa E 300 BlueTEC Hybrid ini adalah model paling cekap bahan api di dalam segmen mewah; dan juga hibrid diesel pertama daripada sebuah pengeluar kelas premium.
Dan jumlah kuasa itu datang hanya daripada sebuah enjin 4-silinder dengan kapasiti 2,143cc. Kuasa kuda pula adalah 204hp. Mercedes mendakwa bahawa pecutan ke 100km/sj hanya mengambil masa 7.1 saat, dan kelajuan maksima pula adalah 242km/sj.
Model ini dijual dengan harga RM 348,888 (tanpa insurans). Ia dipasang secara CKD di Malaysia, menjadinnya model hibrid kedua bagi Mercedes Benz Malaysia setelah model S 400 L Hybrid.
Jika hendak dibandingkan, model baharu ini mempunyai konsep hibrid modular pintar di dalam E 300 BlueTEC yang diberikan pembaharuan tambahan berbanding S 400 L. Ini kerana modul hibrid itu adalah fleksibel dan boleh digunakan di dalam siri model lain.
(Klik untuk galeri penuh)
Sistem hibrid
Motor elektrik yang digunakan ditempatkan di dalam unit kotak gear automatik 7-G-Tronic Plus (lokasinya di antara transmisi dan enjin). Beza tambahan pada kotak gear ini adalah ia tidak menggunakan penukar tork, ditambah pula klac basah sepertimana yang diguna model-model AMG. Motor elektrik ini juga tidak mengambil banyak ruang.
Output motor 3-fasa ini adalah 27hp dan puncak tork 250Nm dengan voltan operasi 120v.
Bekalan elektrik diambil daripada bateri litium-ion yang mampu menyimpan cukup tenaga bagi Mercedes E 300 BlueTEC ini untuk meluncur semata-mata dengan kuasa elektrik sehingga 35km/sj untuk 1 kilometer.
Antara ciri-ciri sistem hibrid pada E 300 hibrid ini adalah:
- Enjin dieselnya dinyahaktifkan setiap kali kereta meluncur pada kelajuan sehingga 160km/sj. Ini tidak menjadi masalah kerana sistem-sistem brek, pendinginan ataupun brek semuanya berfungsi seperti biasa menggunakan kuasa elektrik daripada bateri litium-ion, dan bukannya enjin.
- Motor elektrik dengan tork-nya yang pantas bertindak membantu ketika memintas kereta di hadapan.
- Lazimnya, kereta akan beroperasi menggunakan motor elektrik apabila hendak masuk/keluar kotak parkir.
- Enjin akan secara automatik menukar ke fungsi yang membolehkan ia mendapat kadar kecekapan bahan api paling baik setiap kali memandu pada kelajuan malar.
- Pada kelajuan-kelajuan bawah 160km/sj, enjin ‘dimatikan’ dan kelajuan dikekalkan dengan bantuan motor elektrik sehinggalah bateri perlu dicas semula.
Bahkan, falsafah yang sama digunakan untuk faktor keselamatan. Ciri-ciri aspek penting ini tertumpu kepada manfaat apabila kemalangan benar-benar berlaku, berbanding kepada hasil ujian perlanggaran semata-mata.
Hiburan
Mercedes E 300 BlueTEC hibrid ini dipasang dengan sistem multimedia COMAND Online termasuk sebuah skrin resolusi tinggi 17.8sm. Sistem ini merangkumi ketersambungan internet, sistem navigasi berasaskan cakera keras, penukar DVD; dan sepasang skrin tambahan 20.3sm di belakang kedua-dua kerusi hadapan.
Tambahan
But belakang boleh dibuka dengan meletakkan kaki anda sebentar di bawah bampar belakang sebelum but itu terbuka dengan sendiri, memudahkan anda bila tangan penuh dengan barangan. Kamera ‘surround view’ pula adalah rangkaian kamera-kamera kereta yang dipasang untuk memberi visual 3600 disekeliling kereta.
Ciri Active Parking Assist juga adalah standard di mana ia mengambil alih ketika kereta perlu dimasukkan ke dalam kotak parkir. Sistem ini mengawal stereng dan operasi brek.
Nota: Pertengahan tahun lepas, sebuah Mercedes E 300 BlueTec Hibrid dipandu daripada Tangier (Morocco) ke Goodwood (UK) – sebuah perjalanan 1,968km – dengan hanya menggunakan satu tangki penuh bahan api. Ia dilakukan dalam masa 27 jam; dan di destinasi, sistem di dalam kereta menunjukkan bahawa masih ada lagi 160km yang boleh ditempuh.