Tender bagi menjalankan kerja-kerja menangani masalah cerun di kawasan perumahan Taman Kelab Ukay di sini telah ditawarkan sejak Mac lalu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, bagaimanapun kerja-kerja tersebut tertangguh ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sebenarnya saya dimaklumkan memang ada kerja-kerja ditawarkan sejak Mac untuk tangani masalah cerun di belakang kawasan perumahan ini.

"Tender juga ditawarkan kepada yang layak untuk menjalankan kerja-kerja tersebut tetapi oleh kerana PKP, maka ia tertangguh," katanya.

BACA: Azmin, Zuraida tampung kos sewa keluarga terjejas akibat tanah runtuh

Tambah beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, susulan terdapat pergerakan tanah yang serius ketika ini maka kerajaan akan mengkaji semula tawaran tersebut.

"Kita kena kaji semula kerja-kerja ditawarkan dahulu supaya dapat diselesaikan secara menyeluruh," katanya.

Mengulas lanjut Mohamed Azmin berkata, beliau telah bertemu dengan wakil setiap keluarga dan berbincang dengan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) supaya menjalankan siasatan secara menyeluruh.

BACA: Ancaman tanah runtuh, 40 penghuni Taman Kelab Ukay diarah tinggalkan kediaman

"Siasatan bukan sahaja pada retakan dan pergerakan yang baharu berlaku pagi ini tapi kestabilan tanah di bahagian belakang kawasan perumahan ini.

"Langkah itu perlu sebab saya turun di bawah tadi ada anak sungai dan masih aktif (pergerakannya)," katanya.