KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi (MT) UMNO perlu segera meminta Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberikan penjelasan dakwaan DAP terhadap rundingan parti itu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan (PH).

Ketua UMNO Bahagian Bakri, Mohd Fuad Tukirin menegaskan, dakwaan DAP sangat serius dan boleh menjejaskan keyakinan lebih tiga juta ahli parti sendiri kepada Presiden parti.

Jelasnya ia boleh menyebabkan UMNO tersungkur sekali lagi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

"Kuasa tertinggi dalam hierarki UMNO iaitu MT perlu meminta Ahmad Zahid membuat penjelasan itu sebelum atau semasa Perhimpunan Agung UMNO demi kebaikan dan survival parti.

"Kita tidak mahu UMNO kalah sekali lagi dalam isu DAP dan Anwar. Apa guna kita berpolitik kalau parti yang kita bawa bertanding kalah PRU nanti. Isu macam ini yang akan menjatuhkan UMNO sekali lagi.

"Memang jelas doktrin UMNO ialah 'No DAP', sebab kita tidak tahu apa Perlembagaan dan polisi parti itu. Suara-suara sudah ditimbulkan dalam mesyuarat perhubungan dan sebagainya tentang isu ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

BACA: DAP kata Anwar runding dengan Zahid, Najib

BACA: Ahmad Zahid boleh dihukum jika jalin kerjasama dengan PKR-DAP - Abd. Rahman

Pada Isnin, Pengarah Biro Pendidikan Politik Kebangsaan DAP, Liew Chin Tong mendakwa Anwar berunding dengan Ahmad Zahid dan Datuk Seri Najib Razak.

Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Pertahanan berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Pengelola PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkenaan jemputan kepada Anwar untuk membawa PKR menyertai 'Langkah Sheraton'.

Memetik tulisan di blognya, beliau berkata, kenyataan Nik Nazmi berkemungkinan untuk mengingatkan agar pemimpin DAP 'bersyukur'.

Sebelum ini, Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Abd Rahman Bakri berkata, sesiapa sahaja termasuk MT UMNO dan Ahmad Zahid boleh dihukum jika terbukti menjalinkan kerjasama dengan PKR dan DAP.

Ujarnya, ia selaras ketetapan Presiden UMNO serta MT sendiri yang tidak akan melanggar dasar parti 'No DAP, No Anwar'.