KUALA LUMPUR: Ketika ekonomi digital berkembang dengan begitu pesat, isu keselamatan siber mula menjadi fokus utama yang perlu diberi perhatian.

Bagaimanapun, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, Malaysia sentiasa bersedia dan kemampuannya dalam menangani risiko ancaman keselamatan siber dan diiktiraf antara yang terbaik di rantau Asia Tenggara.

"Strategi Keselamatan Siber Malaysia 2020-2024 yang dilancarkan pada Oktober 2020 dan Program Pemberdayaan Keselamatan CYBER (SiberKASA) pada Mac lalu, adalah antara usaha untuk menangani ancaman keselamatan siber.

“Di peringkat ASEAN, Malaysia bekerjasama dengan Singapura untuk mengembangkan Pelan Tindakan ASEAN mengenai Pelaksanaan Norma Tingkah Laku Negara yang Bertanggungjawab di Ruang Siber untuk memastikan keberkesanan dan praktikalitinya.

"Dengan mempertimbangkan momentum Tahun Ekonomi Digital ASEAN-China dan kemungkinan Kerjasama Digital ASEAN-China, dialog ini adalah platform yang baik untuk memupuk kerjasama yang lebih mendalam, bertukar idea, serta meneroka titik pembangunan baharu dalam kerjasama digital," katanya ketika megambil bahagian secara virtual dalam Sidang Kemuncak Persidangan Internet Dunia (WIC) 2021 di Wuzhen, China, pada Ahad.

Malaysia merupakan tuan rumah Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN Yang Pertama (ADGMIN1) dan Pegawai-Pegawai Kanan Digital ASEAN (ADGSOM1).

ASEAN memiliki kadar pertumbuhan terpantas di dunia dalam pasaran digital.

Menjelang 2025, ekonomi digital di rantau ini dijangka meningkat kepada AS$ 300 bilion, menjadikan ASEAN sebagai pasaran tunggal terbesar di dunia menjelang 2030.