JOHOR BAHRU: Kertas siasatan berhubung kes dakwaan gangguan seksual membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain sudah lengkap.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kertas siasatan itu kini dirujuk ke bahagian perundangan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kertas siasatan telah kita majukan untuk bahagian perundangan untuk mereka meneliti buat kajian, hasil kajian yang kita jalankan. Kita masih menunggu keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Rabu.

Kamarul Zaman berkata, pihaknya masih menunggu arahan selanjutnya daripada bahagian perundangan itu.

BACA: Dakwaan gangguan seksual: ADUN Sedili, beberapa individu diambil keterangan - Ketua Polis Johor

Seramai 11 individu dipanggil termasuk Rasman dan wanita yang membuat laporan polis berkenaan.

Laporan polis itu dibuat wanita berusia 26 tahun terbabit di Balai Polis Kota Tinggi, pada 17 Januari lalu.

Bagaimanapun, ADUN terbabit menerusi kenyataan baru-baru ini menafikan dakwaan itu dan menyatakan ia adalah satu fitnah, konspirasi politik serta cubaan untuk menjatuhkan maruah beliau sebagai ahli politik.