JOHOR BAHRU: Kertas siasatan kejadian buli membabitkan lima pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muar baru-baru ini, kini berada di Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5), Bukit Aman.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Zaharudin Rasip berkata setakat ini masih tiada sebarang tindakan pertuduhan dikenakan terhadap lima pelajar tingkatan empat itu selepas tamat tempoh reman dan pihaknya masih menunggu arahan Bukit Aman untuk tindakan lanjut.

"Kes yang berlaku di MRSM itu, semua pelajar tersebut sudah ditangkap dan direman tiga hari. Siasatan sudah lengkap dan kita telah rujuk kertas siasatan itu kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan IPK telah rujuk kepada Bukit Aman. Kini masih menunggu keputusan daripada Bukit Aman.

"Kes ini dirujuk ke Bukit Aman kerana ia merupakan kes berkepentingan awam (public interest)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Santai Cycle Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Johor di IPK Johor yang turut dihadiri Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay di sini hari ini.

Zaharudin berkata setakat ini, siasatan dijalankan hanya melibatkan lima pelajar berkenaan dan tiada individu lain.

BACA: Dakwa buli pelajar 'junior', lima remaja direman

"Lima pelajar tersebut merupakan wakil pelajar yang dilantik pihak sekolah dan berdasarkan siasatan, kejadian dipercayai berpunca akibat ketidakpuasan hati antara kelima-lima pelajar itu terhadap mangsa.

"Ketika ini saya tidak dapat mengesahkan tindakan yang diambil pihak sekolah terhadap mereka kerana sekolah sedang bercuti. Untuk tahu perkembangan sama ada tindakan disiplin dan sebagainya dikenakan, kita lihat apabila sekolah dibuka semula nanti," katanya.

Kelima-lima pelajar lelaki berumur 16 tahun itu direman tiga hari bermula 16 hingga 18 Dis lepas oleh Mahkamah Majistret Muar bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Pada 15 Dis, kesemua mereka dilaporkan ditahan di sekitar Melaka, Kuala Lumpur, Selangor dan Johor Bahru selepas disyaki terlibat dalam kes buli seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun sehingga menyebabkan mangsa mengalami bengkak pada rusuk kiri.

-- BERNAMA