ISKANDAR PUTERI: Kerajaan menghormati keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara dan denda ke atas pemandu wanita terlibat nahas basikal lajak lima tahun lepas di Johor Bahru selepas disabitkan kesalahan baru-baru ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata masyarakat perlu memahami Malaysia mempunyai tiga cabang kuasa iaitu penggubalan undang-undang di Parlimen, kuasa eksekutif di pihak kerajaan dan yang terakhir ialah sistem kehakiman.

"Pertama, saya menghormati sistem kehakiman. Biar sistem kehakiman berjalan. Jadi tak elok eksekutif mengajar bagaimana badan kehakiman itu berjalan. Tidak. Jadi saya rasa kita kena melihat daripada konteks ini.

"Kedua, kita harus merancakkan lagi kesedaran dalam kalangan ibu bapa," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa di Forest City Golf Resort hari ini.

Beliau juga berkata ketiadaan Perintah Kawalan Pergerakan menyebabkan kumpulan 'mat rempit' atau basikal lajak misalnya menganggap mereka sudah bebas dan mungkin aktiviti itu akan mula berleluasa, justeru peranan ibu bapa penting untuk memberikan kesedaran.

Wee berkata selain itu, peranan pihak berkuasa seperti polis dalam menguatkuasakan undang-undang terutama Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang dipinda pada 2020 dengan hukuman lebih berat kepada pesalah diharap dapat membantu mengekang kejadian tidak diingini.

"Dengan rasa simpati kepada semua pihak terlibat, kita perlu ambil iktibar apa yang berlaku dan sedar risiko dihadapi pengguna jalan raya, jadi kita kena ambil inisiatif dan merancakkan kempen keselamatan jalan raya serta meningkatkan penguatkuasaan.

"Perkara ini sebenarnya tanggungjawab kita bersama, kementerian, penguat kuasa, ibu bapa dan juga masyarakat kerana apabila tragedi seperti ini berlaku, pada akhirnya ia tidak menguntungkan mana-mana pihak," kata beliau.

Pada Rabu lepas, Hakim Datuk Abu Bakar Katar menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 ke atas Sam Ke Ting, 27, bagi kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal lajak pada 18 Feb 2017.

BACA: Kes basikal lajak: Rayuan pemandu wanita didengar Isnin ini

BACA: Kes basikal lajak: Petisyen pembebasan Sam Ke Ting terima hampir 800,000 sokongan

BACA: Langgar mati lapan remaja basikal lajak: Kerani dipenjara enam tahun, denda RM6,000

Lesen memandu wanita itu turut digantung selama tiga tahun sebaik sahaja selesai menjalani hukuman.

Keputusan itu sekali gus mengetepikan perintah Mahkamah Majistret pada 10 Okt 2021 yang melepas dan membebaskan tertuduh.

Sam, yang ketika kejadian berusia 22 tahun, didakwa memandu kereta bernombor pendaftaran JQB 9984 di Jalan Lingkaran Dalam secara melulu atau dengan berbahaya sehingga menyebabkan kematian mangsa yang berumur antara 13 hingga 16 tahun pada 3.20 pagi.

-- BERNAMA