KUALA LUMPUR: Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim baru-baru ini mengemukakan tiga cadangan penambahbaikan bagi memastikan kes membabitkan remaja perempuan sindrom Down yang dikenali sebagai Bella tidak lagi berulang.

Cadangan itu melibatkan pindaan perundangan, penguatkuasaan termasuk mengaudit semua pusat jagaan kanak-kanak dan kajian segera berhubung syarat pusat jagaan tersebut.

Cadangan Tunku Ismail mendapat respons positif banyak pihak termasuk daripada kumpulan inisiatif tidak berasaskan keuntungan, Bantu-Bantu Malaysia, yang menggerakkan usaha untuk membantu kanak-kanak dan pada masa sama mencadangkan tujuh lagi penambahbaikan bagi menangani isu tersebut.

BACA: Bella sudah pulih seperti sedia kala - PM

BACA: Kes Bella: TMJ cadang 3 penambahbaikan elak kes sama berulang

BACA: Kes Bella: Rina nafi KPWKM tidak ambil tindakan


Pengasas bersama Bantu-Bantu Malaysia, Datin Dian Lee Cheng Ling berkata, antara cadangan pihaknya adalah penambahan kakitangan terutama di Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Selain itu, kempen kesedaran perlu giat dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak dan kerajaan juga perlu mewujudkan pusat sehenti bagi pendaftaran pusat jagaan dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska).

“Cadangan keempat, kerajaan perlu meneliti bagaimana dapat membantu pengusaha yang tidak berdaftar mengurangkan kos bagi kursus pendidikan awal kanak-kanak yang kosnya menelan hampir RM1,000.

“Kami juga mencadangkan JKM perlu menapis dan memeriksa latar belakang pemilik pusat asuhan atau pusat kebajikan kanak-kanak dengan pihak berkuasa lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Kes Bella | TMJ kemuka tiga cadangan

Katanya lagi, ketua komuniti juga perlu bekerjasama untuk mendidik ibu bapa yang tinggal di mukim dan kawasan mereka mengenai pentingnya Taska didaftarkan dengan JKM.

“Cadangan ketujuh, kerajaan digesa menambahbaik khidmat Talian Kasih 15999 dengan turut menyediakan pakar kanak-kanak serta pakar psikologi.

Kes Bella | Ada proses hadkan kehadiran pihak tidak berkaitan


“Bantu-Bantu Malaysia juga menggesa kementerian terlibat untuk lebih proaktif serta berterusan melaksanakan libat urus dengan pemegang taruh dalam melaksanakan inisiatif atau pelaksanaan program baharu dalam memastikan ia lebih efektif.

“Kami juga menggesa Kementerian Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat untuk mempertimbang serta meneliti cadangan kami bagi memastikan kebajikan serta penjagaan kanak-kanak diberi keutamaan,” ujarnya.