KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali selepas didapati bersalah atas pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja sindrom Down dikenali sebagai Bella.

Bagi pertuduhan pengabaian, tertuduh dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun manakala bagi pertuduhan kedua iaitu menganiaya, tertuduh dikenakan hukuman penjara 12 tahun.

Hakim Izralizam Sanusi bagaimanapun memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan secara serentak dari tarikh sabitan.

Beliau turut mengarahkan perintah bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin warganegara tempatan berserta cagaran RM5,000 kepada hukuman yang telah dijatuhkan.

"Sebagai  tambahan OKT juga diarah menjalankan perintah khidmat masyarakat selama 200 jam agregat yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukum pemenjaraan," katanya di sini pada Rabu.

Izralizam ketika menjatuhkan hukuman berkata kesalahan mengabai dan menganiaya adalah kesalahan serius dan seperti mana dihujahkan oleh pendakwaan bahawa pindaan telah dibuat bagi hukuman terhadap kesalahan-kesalahan tersebut.

Menurutnya lagi, hukuman pemenjaraaan bagi kesalahan itu juga telah dinaikkan daripada 10 tahun kepada 20 tahun selain jumlah denda dari RM10,000 kepada RM50,000, jika sabit kesalahan.

"Pindaaan itu menunjukkan hasrat Parlimen dan undang-undang bagi memastikan hukuman berat diberikan untuk kesalahan-kesalahan berkenaan," katanya.

Izralizam memberitahu, hukuman yang dijatuhkan perlu menggambarkan keseriusan kesalahan dilakukan dan menunjukkan kepada orang awam khususnya ibu bapa, penjaga dan pengasuh kanak-kanak agar tidak mengambil ringan keselamatan dan kebajikan kanak-kanak.

"Faktor kepentingan awam perlu ditekankan dan dalam kes ini, mahkamah mendapati kecederaan dialami Bella adalah kecederaan serius malah sehingga kini, ia meninggalkan parut.

"Ia bukan sahaja meninggalkan parut dalam dirinya, tetapi parut secara fizikal. Beliau bukan sahaja diabaikan oleh tertuduh sehingga menyebabkan kecederaan teruk, malah tertuduh didapati terlibat menganiaya Bella.

"Tindakan dilakukan tertuduh kepada Bella adalah kejam dan dia perlu diberikan hukuman berat bagi memberi pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh, malah masyarakat bahawa kesalahan jenayah seperti ini tidak boleh dilakukan sama sekali.

"Tertuduh adalah aktivis masyarakat yang sering terlibat dengan kanak-kanak. Tertuduh sepatutnya menggalas tanggungjawab sebaik mungkin dan bukan melanggar amanah yang diberikan," kata hakim itu.

Terdahulu semasa rayuan bagi mengurangkan hukuman, peguam Mohammad Farhan Maaruf mewakili Siti Bainun memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya boleh berubah dan sepatutnya diberikan peluang kedua.

"Jika hukuman pemenjaraan yang lama dikenakan terhadap tertuduh, ia akan memprejudiskan ibu yang bergantung harap kepadanya. Fasiliti dalam penjara juga tidak dapat menampung keadaan fizikal tertuduh kerana beliau bersaiz besar dan mempunyai masalah kesihatan," katanya.

Justeru pembelaan memohon mahkamah supaya menangguhkan hukuman yang dijatuhkan ke atas anak guamnya sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi.

Namun hakim memutuskan menolak permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan memerintah Siti Bainun dihantar ke penjara serta-merta.

Menurut Izralizam lagi, penfailan penangguhan tidak secara automatik menjadikan sesuatu hukuman perlu ditangguhkan melainkan hukuman sebatan.

"Dalam mempertimbangkan permohonan OKT dalam kes ini, saya perlu melihat kepada keadaan khas atau luar biasa yang dirujuk sebagai situasi khas bagi membolehkan atau membenarkan saya membuat penangguhan hukuman ke atas OKT.

"Selain itu sabitan dan hukuman OKT bagi kedua-dua pertuduhan dibuat selepas satu perbicaraan penuh dibuat. Justeru saya berpendapat penelitian yang lebih ketat perlu dibuat sebelum penggantungan dibenarkan.

"Sabitan ke atas OKT telah disahkan oleh mahkamah ini dan tiada sebab untuk menyakinkan saya untuk menangguhkan hukuman penjara yang diperintahkan ke atas OKT. Faktor-faktor yang diutarakan termasuk menjaga ibu adalah perkara peribadi tertuduh yang berkaitan dengan ahli keluarganya. Jadi ini bukan semata-mata justifikasi untuk membenarkan permohonan tertuduh.

"Faktor-faktor yang diumumkan tanpa sebarang keadaan khas adalah tidak memadai, saya berpendapat dalam kes ini keadilan dapat disampaikan sebaiknya melalui pelaksanaan hukuman serta-merta. Maka permohonan tertuduh untuk penggantungan pelaksanaan adalah ditolak. Mahkamah memerintah memerintah OKT menjalani hukuman dengan serta-merta," jelasnya.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari hingga Jun 2021.

Pada 24 November tahun lalu, Siti Bainun diperintah membela diri atas dua pertuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie di akhir kes pendakwaan.