SHAH ALAM: Keluarga Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Allahyarham Nazrin Hassan akan memohon kepada pihak pendakwaan untuk membuat rayuan susulan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini.

Abang Nazrin, Dr Abdul Aziz Hassan berkata, rayuan itu akan dikemukakan berikutan beliau dan keluarga merasakan sesuatu perlu dilakukan atas nama keadilan.

Beliau berkata, terlampau banyak persoalan yang tidak terjawab sepanjang tempoh perbicaraan berlangsung dan jika rayuan tidak dilakukan, pihak keluarga akan memohon agar inkues dilakukan.

“Isu berpuas hati ataupun tidak, kita terima takdir ini. Dan kita mahu usaha disambung untuk mencari keadilan. Tiada siapa nampak apa-apa… tiba tiba (Nazrin) mati. Jadi kita kena teruskan cari kebenaran.

“Banyak soalan yang tidak dijawab. Jadi, pihak keluarga kami mohon pihak pendakwaan untuk buat rayuan supaya kes ini sampai ke akhir, Insya-Allah, macam mana (sekali) pun,” katanya lagi.

Dr Abdul Aziz berkata demikian kepada pemberita di pekarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam, selepas mendengar keputusan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman yang membebas dan melepaskan Samirah Muzaffar, 47, dan dua lagi remaja daripada pertuduhan tersebut.

Sementara itu, kakak kepada Nazrin, Che Elainee berkata, dia hanya mampu menerima keputusan itu dan menyerahkan kepada Tuhan.

“Kami terima keputusan mahkamah itu dan kami serahkan pada Tuhan untuk mendapatkan kebenaran. Kami hanya mahukan kebenaran, itu sahaja,” katanya lagi.