KUALA LUMPUR: Tiga tertuduh dalam kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan, iaitu Samirah Muzaffar, 47 tahun, dan dua remaja yang juga merupakan anak tiri Nazrin, dilihat tiba di perkarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam kira-kira 9.10 pagi ini.

Samirah bersama dua remaja berkenaan, masing-masing berusia 16 dan 19 tahun, dilihat tiba sambil diiringi barisan peguam serta ahli keluarga.

Terdahulu, berlaku kekecohan apabila peguam cuba menghalang petugas media untuk mengambil gambar anak guamnya, sehingga mengakibatkan pergaduhan mulut dan juga secara fizikal.

Ketika ini, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ab Karim Ab Rahman sedang membacakan hasil dapatan bagi menentukan keputusan terhadap Samirah, dua remaja berkenaan, serta seorang lagi yang masih bebas.

Media sebelum ini melaporkan, sekiranya keputusan mahkamah berpihak kepada pendakwaan, yakni mahkamah mendapati terdapat kes prima facie terhadap Samirah dan dua remaja itu, maka mereka akan dipanggil untuk membela diri.

Jika keputusan adalah sebaliknya, ketiga-tiga tertuduh itu akan dilepas dan dibebaskan, maka bergantung kepada pihak pendakwaan untuk membuat rayuan.

Pada 14 Feb lepas, pihak pendakwaan menutup kes mereka selepas memanggil 57 saksi termasuk abang dan kakak si mati, Dr Abdul Aziz, Dr Malek Reedzwan dan Che Elainee; Pengarah Jabatan Bomba Kuala Lumpur Edwin Galan Anak Teruki; Pegawai Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur Dr Siew Sheue Feng; Dr Prashant Sanberker serta pengawal keselamatan kediaman si mati Raju Kumar Pandit. 

Perbicaraan tersebut bermula pada 6 Sept 2019.

Samirah serta dua remaja lelaki masing-masing berusia 19 dan 16 tahun dan seorang warga Indonesia yang masih bebas Eka Wahyu Lestari didakwa membunuh Nazrin, 47 tahun, di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.