KUALA TERENGGANU: Dua pemungut telur penyu dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada Isnin atas pertuduhan membunuh seorang lelaki pada tahun 2016.

Hukuman itu diputuskan Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz  terhadap Faizol Aznan Muhamad, 40, dan Mohd Riduan Ismail, 32, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa  membunuh Razak Abdullah yang ketika kejadian berusia 45 tahun.

Kesalahan itu dilakukan pada 3 Jun 2016 di tepi Pantai Geliga berhadapan sebuah sekolah di Chukai, Kemaman, jam 7 pagi.

Mahkamah | Dua pemungut telur penyu dijatuhi hukuman gantung


Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 kanun keseksaan (Akta 574) dan dibaca bersama Seksyen 35 kanun yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah dan Intan Nor Hilwani Mat Rifin.

Manakala tertuduh diwakili peguam, Ghazali Ismail dan Masliela Ismail.