KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu perincian maklumat melibatkan pelbagai agensi termasuk pihak berkuasa Palestin berhubung kes pembunuhan seorang pensyarah Palestin di Malaysia pada 2018.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata pihak berkenaan melibatkan Kedutaan Besar Palestin di Malaysia, Polis Antarabangsa (Interpol) dan lain-lain agensi di dalam dan luar negara.

"Kami masih menunggu maklumat daripada beberapa pihak yang kami percaya dapat beri pencerahan kepada isu berkenaan dalam melengkapkan siasatan kes ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes itu selepas menghadiri Program Pendidikan dan Kemahiran Awal Murid Autisme di Pusat Autisme PDRM, Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Pada Isnin lepas, PDRM memaklumkan akan memohon agar suspek kes pembunuhan pada 2018 yang dilaporkan ditahan oleh pihak berkuasa Palestin pada Ahad lepas, diekstradisi ke negara ini bagi tujuan siasatan.

BACA: Suspek kes bunuh pensyarah Palestin di KL sah ditahan, mengaku terima arahan Mossad

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan dilaporkan berkata PDRM sedang mendapatkan pengesahan berhubung penangkapan suspek tersebut daripada Kementerian Luar, Kedutaan Palestin di Malaysia dan Interpol.

Pada 21 April 2018, Dr Mohamed Fadi Al Batsh, seorang pensyarah dipercayai mempunyai kaitan dengan Hamas, maut ditembak berhampiran rumahnya di Kuala Lumpur.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, mangsa dalam perjalanan dari kondominiumnya di Setapak, di sini, menuju masjid berhampiran untuk menunaikan solat Subuh.

Terdahulu, Acryl Sani bagi pihak PDRM menerima cek bernilai RM100,000 daripada Pengerusi Yayasan Bank Rakyat Datuk Megat Zulkarnain Omardin sempena Program Pendidikan dan Kemahiran Awal Murid Autisme di Pusat Autisme PDRM.

Acryl Sani turut menzahirkan penghargaan atas inisiatif pihak Yayasan Bank Rakyat untuk menjadikan Pusat Autisme PDRM di Pulapol di sini, sebagai anak angkat bagi memperkasakan lagi kualiti pendidikan mereka.

"Sumbangan seperti ini amat besar ertinya dan bantuan tersebut akan memberi manfaat serta harapan kepada 23 orang anak istimewa yang berdaftar di Pusat Autisme PDRM ini," katanya.

-- BERNAMA