SEREMBAN: Mahkamah Majistret Seremban menetapkan 9 dan 10 Februari 2022 untuk memulakan perbicaraan kes dadah melibatkan selebriti sensasi, Zarina Anjoulie pada Jun lalu.

Tarikh tersebut ditetapkan oleh Majistret Mohd Firdaus Salleh pada Khamis, selepas peguam yang mewakili selebriti itu, Ahmad Faiz Munawar memohon perbicaraan dimulakan tahun hadapan.

Pada prosiding itu, pihak pembelaan memaklumkan bahawa mereka belum menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara.

"Bagaimanapun, kami tidak mempunyai masalah untuk memulakan perbicaraan," katanya.

Anjoulie atau nama penuhnya, Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul, 34, tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Seremban pada jam 8.40 pagi dengan berpakaian jubah dan selendang hitam bersama peguamnya.

Pada 13 September lalu, Zarina Anjoulie didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menggunakan dadah jenis Methamphetamine pada Jun lalu.

Mengikut pertuduhan, Zarina Anjoulie yang mempunyai pengaruh di media sosial Instagram didakwa menggunakan dadah jenis Methamphetamine dan air kencingnya didapati positif dadah jenis tersebut.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.