KOTA BHARU: Kumulatif kes denggi di Kelantan hingga minggu epidemiologi (ME) ke-31 tahun ini mencatatkan 436 kes berbanding 131 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin berkata jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 305 kes atau 232.82 peratus.

Beliau bagaimanapun berkata statistik denggi mingguan Kelantan pada ME ke-31 iaitu 31 Julai hingga 6 Ogos mencatatkan sebanyak 19 kes denggi dan terdapat penurunan 16 kes berbanding 35 kes pada ME ke-30.

"Setakat ini, terdapat dua kes kematian akibat denggi dicatatkan manakala sifar kematian bagi tempoh yang sama, tahun lepas.

"Pada tahun ini juga terdapat 22 episod wabak denggi telah dilaporkan di Kelantan berbanding enam episod bagi tempoh yang sama tahun lepas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Izani berkata, pada masa ini terdapat empat wabak denggi aktif di Kelantan iaitu di Gemang Baru di Jeli serta Taman Sri Mahang, Taman Satria dan Dusun Muda di Kota Bharu.

"Hasil pemeriksaan pembiakan aedes ke atas 142,188 premis atau rumah kediaman pula mendapati sebanyak 5,025 premis mempunyai tempat pembiakan jentik-jentik.

"Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan juga telah mengeluarkan 900 kompaun yang dicadang dengan nilai RM450,000 di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 iaitu jika rumah kediaman seseorang itu berada di kawasan wabak denggi dan hasil pemeriksaan menjumpai pembiakan nyamuk aedes maka kompaun (saman) maksimum sebanyak RM500 akan dikeluarkan (tidak dibenarkan untuk rayuan pengurangan)," katanya.

Beliau berkata setakat ini juga sebanyak 99 Notis Seksyen 8 APSPP telah dikeluarkan bagi arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat berpotensi menjadi pembiakan aedes.

-- BERNAMA