AMPANG JAYA: Polis memberkas seorang pekerja kontraktor sambilan yang disyaki mendera kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dalam kejadian di Pandan Perdana, di sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menahan lelaki berusia 41 tahun yang merupakan penjaga sementara kepada kanak-kanak itu kira-kira pukul 5.40 petang, di Jalan Besar Taman Dagang, di sini pada Isnin.

"Suspek merupakan kawan kepada bapa mangsa yang diminta untuk menjaga mangsa sementara ibu bapa kandung mangsa ditahan di penjara.

"Semakan juga mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau berkait dadah dan satu rekod lampau jenayah komersial," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.

Menurut Farouk Eshak, suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Ampang pada Selasa  bagi tujuan permohonan reman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

BACA: Kanak-kanak tiga tahun cedera didera penjaga

Ahad lalu, media melaporkan, kejadian itu disedari oleh seorang lelaki yang terdengar tangisan kanak-kanak itu kira-kira pukul 1 petang.

Pengadu mendapati kesan kecederaan di muka dan badan kanak-kanak itu, sebelum ke balai polis untuk tindakan selanjutnya.

Kanak-kanak itu dalam keadaan stabil dan ditempatkan di wad pediatrik Hospital Ampang untuk pemerhatian dan rawatan lanjut.