KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak membuat keputusan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 26 lokaliti di negeri itu.

Menurut kenyataan harian JPBN Sarawak, pelaksaan PKPD itu berkuat kuasa 1 hingga 18 Sept 2021.

Jelas kenyataan itu, kesemua lokaliti tersebut melibatkan lapan daerah iaitu di Bintulu (2), Sebauh (3), Lubok Antu (2), Sri Aman (3), Pakan (3), Julau (3), Asajaya (2) dab Saratok (2).

“Sementara itu PKPD di 30 lokaliti dilanjutkan sehingga tujuh hari dan PKPD di lapan lokaliti lain telah ditamatkan hari ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam perkembangan kes harian COVID-19, Sarawak mencatatkan penambahan 2,992 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri itu kepada 121,964.

Sebanyak 2,151 kes daripada keseluruhan kes hari ini juga melibatkan saringan kontak rapat.

Selain itu, 99.8 peratus atau 2,986 daripada kes hari ini adalah daripada kategori 1 dan 2.

“Baki kes iaitu 0.20 peratus adalah kategori 3, 4 dan 5 iaitu pesakit yang mengalami jangkitan paru-paru serta memerlukan oksigen,” katanya.

Sarawak juga mencatatkan tujuh kematian baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian di negeri ini kepada sebanyak 540 kes.