KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak akan menambah 14 lagi Pusat Kuarantin Risiko Rendah COVID-19 (PKRC) di Zon Selatan menjadikan jumlah keseluruhan PKRC di zon itu kepada 29 PKRC dengan kapasiti 5,887 katil.

Penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Seri Dr Sim Kui Hian  berkata penambahan ini perlu bagi menampung kes COVID-19 yang kian meningkat di negeri itu dengan kes harian melebihi angka seribu untuk 13 hari berturut-turut sejak 18 Ogos 2021.

Dr Sim turut memaklumkan sejumlah 520 katil telah disediakan di dua PKRC baharu di Kuching dengan 270 daripadanya ditempatkan di PPV SMK Tabuan Jaya yang beroperasi semalam.

Baki 250 buah katil lagi ditempatkan di PPV Dewan Hikmah yang dijangka beroperasi esok.

Jelas Dr Sim kedua-dua PKRC ini akan menempatkan pesakit COVID-19 kategori 1,2, dan 3.

“Kita juga akan menempatkan pesakit yang mempunyai komorbit atau mereka yang tidak mempunyai persekitaran rumah yang sesuai untuk menjalani pengasingan kendiri,” katanya melalui hantaran di media sosialnya.

Tambahnya, walaupan PKRC itu dikendalikan oleh pihak Hospital Umum Sarawak (HUS) di bawah Kerajaan Persekutuan, namun Kerajaan Negeri sentiasa menghulurkan bantuan sebanyak mungkin dari sudut kewangan.

“Walaupun PKRC ini tidak dikendalikan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB), Kerajaan Negeri sentiasa memperuntukkan bantuan kerana yang memerlukan fasiliti ini ialah rakyat Sarawak dan bukan masanya kita berkira-kira dalam situasi krisis sekarang ini,” katanya.