KUALA LUMPUR: Malaysia terus merekodkan penurunan angka jangkitan harian kes COVID-19 dengan 15,669 kes dalam tempoh 24 jam lalu. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan kes positif dalam negara setakat ini sebanyak 2,011,440 kes. 

Selangor kembali menjadi penyumbang kes harian COVID-19 tertinggi dengan 2,632 kes, manakala kes jangkitan harian di Sarawak menurun kepada 1,983 kes. 

Lima negeri yang mencatatkan lebih 1,000 kes ialah Johor (1,974 kes), Sabah (1,784 kes), Pulau Pinang (1,651 kes), Kelantan (1,406 kes) dan Kedah (1,207 kes). 
 

Daripada sejumlah 15,669 kes baharu yang dilaporkan, 15,652 adalah kes tempatan iaitu 14,169 warganegara, serta 1,483 bukan warganegara.

Manakala, 17 adalah kes import.

Sebanyak 1,266 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu 954 kes COVID-19 dan 312 kes suspected, probable serta dalam siasatan.

Manakala, 689 kes memerlukan bantuan pernafasan iaitu 432 kes COVID-19 dan 257 kes suspected, probable, serta kes dalam siasatan.

Sejumlah 18,053 kes direkodkan telah sembuh, menjadikan jumlah kumulatif kepada 1,764,579 kes.

Dalam pada itu, 283 kes (1.8 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5.

Manakala, 15,386 kes (98.2 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Data kematian dan data-data lain bagi situasi semasa jangkitan COVID-19 di Malaysia akan dimuatnaik ke laman GitHub dan laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my.