KOTA BHARU: Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFDM) di Kelantan meningkat 553 peratus kepada 1,548 kes dalam tempoh Januari hingga awal bulan ini, berbanding hanya 237 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin berkata daripada jumlah kes HFMD yang dilaporkan, majoriti kes adalah dalam kalangan kanak-kanak berumur satu hingga empat tahun iaitu sebanyak 75.8 peratus.

"Secara keseluruhan 87.9 peratus daripada kes yang dilaporkan adalah berumur enam tahun dan ke bawah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Zaini berkata dari segi kejadian wabak, sebanyak 18 wabak HFMD telah dilaporkan dalam tempoh Januari hingga awal Mei, berbanding dengan hanya satu wabak sahaja bagi tempoh sama pada 2021.

"Sebahagian besar wabak yang dilapor adalah melibatkan taska dan pusat jagaan kanak-kanak," katanya.

Dr Zaini menasihati orang ramai terutama yang mempunyai anak kecil supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi membendung penularan kes HFMD di negeri itu.

-- BERNAMA