KOTA BHARU: Penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) terus meningkat di seluruh Kelantan dengan 2,493 kes direkodkan di negeri itu setakat ini.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata terdapat 945 kes HFMD dilaporkan pada minggu epid 19 (8 – 14 Mei 2022) dengan peningkatan kes sebanyak 934 peratus.

"Jumlah berkenaan meningkat  berbanding dalam tempoh yang sama pada tahun 2021, dimana hanya 241 kes sahaja dilaporkan sehingga minggu epid 19 pada tahun 2021.

"Dari segi kejadian wabak, sebanyak 18 wabak HFMD telah dilaporkan sehingga Minggu Epid 19 pada tahun 2022 berbanding dengan hanya satu wabak sahaja bagi tempoh yang sama pada tahun 2021," " katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimana pun tiada wabak baru dilaporkan pada minggu epid 19/2022.

Jelas Zaini lagi, sebahagian besar wabak yang dilapor itu membabitkan taska dan Pusat Jagaan Kanak-Kanak.

"Daripada jumlah kes HFMD yang dilaporkan pada tahun ini, majoriti kes adalah dalam kalangan kanak-kanak berumur 1 hingga 4 tahun iaitu sebanyak 73.8 peratus, bawah satu tahun 8.5 peratus, 5-6 tahun 11.8 peratus, 7- 12 tahun 4.9 peratus.

"Secara keseluruhan 94.1 peratus dari kes yang dilaporkan itu adalah dari kalangan yang berumur 6 tahun dan ke bawah," katanya lagi.
  
Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan turut menasihati orang ramai, terutamanya yang mempunyai anak-anak kecil supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan mengamalkan kebersihan.

Antaranya membasuh tangan dengan sabun dan air bersih selepas menggunakan tandas, sebelum menyediakan makanan, serta sebelum dan selepas menukar lampin dan mencuci najis kanak-kanak.

"Jangan berkongsi barangan peribadi seperti berus gigi, sapu tangan, tuala, selimut, cawan, garpu, dan sudu dengan individu yang bergejala HFMD.

"Sentiasa mengekalkan kebersihan di rumah, pusat penjagaan kanak-kanak, tadika dan sekolah, dan persekitarannya," tambahnya.

Ibubapa juga disaran supaya kerap membasuh semua alat mainan dan permukaan meja, kerusi, lantai, dan sebagainya yang telah tercemar dengan air liur kanak-kanak.

Zaini menambah, bawa kanak-kanak ke klinik atau hospital terdekat jika mereka mempunyai tanda-tanda atau simptom jangkitan.

Ibubapa juga diingatkan tidak menghantar kanak-kanak tersebut ke pusat jagaan kanak-kanak, taska, tadika atau sekolah atau tempat awam.