KUALA LUMPUR: Penahanan reman ke atas Bendahari Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Salleh Bajuri dibuat mengikut undang-undang sedia ada.

Menurut Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, penahanan itu dibuat berdasarkan peraturan ditetapkan dan kehendak siasatan ketika itu.

"Kita sebagai agensi penguatkuasa mengikut peraturan undang-undang yang ada, jadi saya serahkan kepada pegawai penyiasat saya.

“Mereka memikirkan ada keperluan untuk menjalankan tangkapan dan reman maka itu adalah keperluan dan kehendak siasatan ketika itu jadi ini ialah satu kuasa budi bicara yang akan digunakan oleh SPRM daripada semasa ke semasa mengikut kepada kesesuaian kes berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SPRM dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Institut Akauntan Malaysia (MIA), di sini, hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin mempertikai penahanan Salleh oleh SPRM memandangkan parti itu memberi kerjasama penuh kepada agensi itu sejak Januari lalu.

Hamzah dilaporkan berkata, tiada sebab munasabah untuk SPRM memohon penahanan reman terhadap Salleh atas alasan siasatan.

Salleh ditahan reman selama dua hari bermula Khamis lalu hingga semalam selepas diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada Rabu untuk memberikan penjelasan berkenaan pembayaran yang dibuat oleh Bersatu kepada pembekal dan vendor parti.

Berdasarkan rekod, ini penahanan kedua membabitkan pemimpin parti itu selepas bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad yang masing-masing dituduh kes rasuah di mahkamah berkaitan projek Jana Wibawa.