Kes Jong-nam: Peguam Negara tolak permohonan bebas warga Vietnam

Agensi
Mac 14, 2019 11:54 MYT
Tertuduh wanita warga Vietnam Doan Thi Huong, 30, dikawal anggota polis ketika keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas prosiding kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam, yang dihadapinya, hari ini. - BERNAMA
Permohonan Vietnam untuk membebaskan seorang rakyatnya, Doan Thi Huong, dalam kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam, ditolak oleh Peguam Negara.
Permohonan itu dikemukakan Vietnam selepas warga Indonesia, Siti Aisyah yang dituduh bersama Huong, dibebaskan awal minggu ini.
“Aduan kami ialah pendakwa raya tidak bertindak adil terhadap Doan Thi Huong,” kata peguamnya, Hisyam Teh.
Teh memberitahu mahkamah bahawa penolakan permintaan Vietnam adalah kes diskriminasi, kerana peguam negara memilih satu pihak selepas mahkamah mengarahkan kedua-duanya membela diri.
BACA: Selepas pembebasan Siti Aisyah, Vietnam juga mahu perkara sama buat Huong
Kementerian Luar Vietnam berkata mereka kesal dengan keputusan mahkamah Malaysia untuk tidak membebaskan Huong dengan segera.
"Vietnam telah membincangkan kes ini dalam semua pertemuan dengan Malaysia dan kami juga meminta agar Malaysia menjalankan perbicaraan dengan adil," kata jurucakap Kementerian Luar Negeri, Le Thi Thu Hang pada sidang akhbar di Hanoi, ibu negara itu.
Isnin lalu, pendakwa raya meminta mahkamah menggugurkan dakwaan terhadap Siti Aisyah dan membebaskannya. Dia diterbangkan ke Indonesia pada hari yang sama.
#doan thi huong #Kementerian Luar #kim jong nam #Korea Utara #mahkamah #Malaysia #Peguam Negara #Peguam negara tolak permohonan #Vietnam