KUALA LUMPUR: Kes kematian akibat demam denggi di seluruh negara mencatatkan peningkatan 400 peratus pada Minggu Epidemiologi Ke-12 pada tahun ini berbanding tahun lepas.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, peningkatan itu membabitkan 17 kes kematian berbanding hanya empat kes bagi tempoh sama pada tahun 2022.

Menurutnya, jumlah kes denggi juga merekodkan angka membimbangkan apabila kes pada Minggu Epidemiologi Ke-12 pada tahun ini meningkat 223 peratus berbanding pada tahun lepas.

Tambahnya, peningkatan ketara itu menimbulkan kebimbangan, namun beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memberi jaminan kerajaan akan mengambil langkah proaktif dalam menangani isu tersebut.

“Secara perbandingan, kita lihat statistik, daripada 8,124 kes pada 2022, ia meningkat kepada 26,222 kes. Apakah jalan penyelesaiannya?

“Kita telah mengambil beberapa pendekatan yang mana kita akan melibatkan NGO, doktor sukarela untuk turun ke bawah secara berjadual, berkala untuk kawasan-kawasan panas, kawasan tumpuan yang tinggi penyebaran nyamuk aedes di daerah dan kawasan tertentu.

“Kita tidak akan gunakan kaedah mohon peruntukan tambahan, tapi sebaliknya menggunakan beberapa pendekatan CSR (tanggungjawab sosial korporat),” katanya.

Beliau menegaskan aset-aset Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di luar musim banjir juga akan digunakan untuk membawa alatan operasi memerangi denggi.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Denggi Bil.1/2023 di Bangunan Parlimen pada Selasa.

Menurutnya, kali terakhir mesyuarat itu diadakan adalah pada tahun 2019, hanya diadakan semula pada 2023.

“Kita sering mengambil ringan perkara begitu tapi Kerajaan Madani tidak akan mengambil ringan perkara ini,” ujarnya.