IPOH: Kes lelaki yang lari dari pengawasan polis di Parit Buntar ditemui mati di depan rumahnya di Taman Klebang Putra, Chemor, dekat sini, diklasifikasifikan sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, hasil bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini, mengesahkan kematian lelaki berusia 37 tahun itu disebabkan ‘kecederaan pelbagai akibat objek tumpul’.

Sehubungan dengan itu, katanya, kes telah diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, tindakan siasatan pantas pihak polis juga telah berjaya menangkap seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun di Chemor.

“Suspek ini akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh untuk permohonan reman esok, bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Menurutnya, pihak polis masih mengesan rakan-rakan suspek yang masih bebas.

“Dengan tertangkapnya suspek yang dipercayai bertanggungjawab ke atas kematian si mati, maka kes ini telah berjaya diselesaikan dalam masa 17 jam selepas laporan polis diterima,” ujarnya.