KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) meminta orang ramai supaya berwaspada dengan kes demam malaria di negeri ini yang dilaporkan meningkat sebanyak 75 peratus.

Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, sebanyak 21 kes malaria telah direkodkan di Terengganu sepanjang Januari hingga 6 Mei berbanding 12 kes dalam tempoh sama pada tahun lepas.

Menurutnya, daripada 21 kes dilaporkan, 20 kes merupakan malaria zoonotik manakala satu kes malaria import dari jangkitan manusia.

"Hulu Terengganu merekodkan jumlah kes paling banyak iaitu sembilan kes diikuti Kemaman dan Dungun masing-masing empat kes, Setiu (2) dan Besut serta Marang satu kes.

"Bagaimanapun setakat ini, tiada wabak atau kematian akibat malaria dilaporkan sama pada seperti tempoh sama tahun lalu," katanya di sini pada Isnin.

Jelas beliau, terdapat dua kategori jangkitan penyakit malaria iaitu Jangkitan Malaria Manusia yang disebabkan oleh parasit plasmodium seperti falciparum, vivax, malariae dan ovale manakala kategori kedua adalah Jangkitan Malaria Zoonotik yang disebabkan oleh parasit plasmodium knowlesi yang merebak dari haiwan seperti kera yang menjadi perumah kepada manusia.

Sehubungan itu, Dr Kasemani menasihati orang supaya lebih peka dan mengambil langkah pencegahan awal terutama ketika memasuki kawasan hutan.

Beliau berkata, antaranya ialah dengan memakai pakaian lengan panjang semasa menjalankan aktiviti berisiko seperti menoreh getah, berburu, mencari hasil hutan, memancing dan jungle trekking.

"Kita harap orang ramai mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital berdekatan sekiranya mengalami gejala seperti demam, sejuk menggigil, berpeluh dan lemah tubuh badan supaya rawatan awal dapat diberikan.

"Mereka yang mempunyai sejarah pergi ke kawasan berisiko malaria atau pulang dari negara endemik malaria dan mengalami gejala juga perlu segera mendapatkan rawatan kerana penyakit ini boleh mengancam nyawa jika tidak dirawat lebih awal," katanya. -Sinar Harian