KUALA LUMPUR : Penggunaan bank data sampel asid deoksiribonukleik (DNA) berkemungkinan besar dapat membantu untuk mengesan suspek kes pembunuhan termasuk membabitkan Nurin Jazlin Jazimin, 14 tahun lalu.

Pakar forensik Negara, Amidon Anan berkata, ujian DNA yang dibuat menerusi sampel darah dapat mengesan individu terlibat dalam sebarang kes jenayah dengan lebih tepat.

“Kita ada puluhan juta penduduk di Malaysia dan ujian itu (DNA) tidak akan serupa dengan mana-mana individu di negara ini.

“Kita perlu bergantung kepada bank data DNA... jika tidak, amat sukar untuk kenal pasti suspek. Langkah itu sudah cukup untuk pihak polis tangkap suspek,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.


Cerita Sebalik Berita: Kes Nurin Jazlin timbul semula

BACA: Jangan persoal keputusan ujian DNA, Musa Hassan tegur bapa Nurin Jazlin

Media pada Jun lalu melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengulangi cadangannya supaya sampel DNA bayi yang baru lahir diambil dan disimpan dalam bank data DNA demi kepentingan umum.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata cadangan itu pernah diutarakan pada 2001, namun ditolak kerajaan atas beberapa alasan, antaranya berkaitan hak asasi manusia dan kebimbangan data disalah guna.

Beliau berkata, amat penting bagi pasukan keselamatan mempunyai bank data DNA yang lengkap, khususnya dalam membantu polis menyelesaikan kes jenayah.

Beliau memberi contoh, PDRM berjaya menyelesaikan kes jenayah rogol dan samun yang terjadi pada 1999 di Cheras melalui padanan profil daripada bank data DNA PDRM pada 2019.

Sementara itu, Amidon yang juga bekas Ketua Unit Siasatan Tempat Kejadian Jenayah (CSI) Makmal Forensik Bukit Aman, turut berkongsi pengalamannya mengendalikan kes Nurin Jazlin.

“Mayat (Nur Jazlin) dalam keadaan terlipat di dalam beg dan pihak forensik berhadapan cabaran untuk kesan cap jari kerana ia agak sukar disebabkan disentuh banyak pihak.

“Wajah mayat kelihatan mendongak ke atas jadi saya percaya mangsa dipaksa (dimasukkan secara paksa) untuk dimuatkan ke dalam beg mengakibatkan kecederaan pada tengkuk,” katanya lagi.

Nurin Jazlin dilaporkan hilang ketika keluar ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju, di sini, kira-kira pukul 8 malam, 20 Ogos 2007.

Penjenayah yang dikatakan menculiknya menyumbat mayat mangsa dalam beg sukan sebelum ditinggalkan di hadapan sebuah rumah kedai di PJS 1/48, Petaling Jaya.