ALOR SETAR: Kes jenayah komersial melibatkan penipuan dalam talian di Kedah dari Januari hingga Jun tahun ini meningkat sebanyak 82 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari berkata, statistik menunjukkan kerugian sebanyak RM5 juta akibat mangsa terlalu percayakan scammer tanpa merujuk kepada polis terlebih dahulu.

“Ramai antara mangsa menerima panggilan daripada pihak yang menyamar sebagai polis mendakwa mangsa terlibat dalam pengubahan wang haram dan dadah.

"Jangan mudah terpedaya kerana polis tidak akan mengambil maklumat mangsa melalui talian kerana kita akan memanggil mangsa untuk hadir ke balai polis terlebih dahulu.

"Ini yang kita mahu masyarakat supaya sedar dan jangan melayani panggilan yang meminta maklumat peribadi dan nombor akaun," katanya pada Kempen Pencegahan Jenayah Anti-Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM) Awie Tour 2022 di Kompleks Aman Central, di sini, semalam.

Mohd Roze berkata, langkah terbaik mangsa perlulah menghubungi balai polis terlebih dahulu sebelum melakukan apa-apa transaksi.

Justeru beliau menasihati orang ramai supaya membuat semakan status akaun di laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my>semakmule atau menghubungi CCIS Response Center di talian 03- 26101559/1599.