KOTA BHARU: Kes penipuan e-dagang dan tipu kerja sambilan dalam talian di Kelantan merekodkan peningkatan mendadak tahun lepas, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat.

Beliau berkata sebanyak 309 kes penipuan e-dagang dengan jumlah kerugian RM1.44 juta dicatatkan pada 2021 berbanding 229 kes dan kerugian lebih RM800,000 pada tahun sebelumnya.

Shafien berkata, kes penipuan kerja sambilan dalam talian pula mencatatkan 51 kes dengan jumlah kerugian lebih RM650,000 berbanding sifar kes pada 2020.

"Dua kaedah penipuan ini dilihat ada peningkatan mendadak dan masyarakat diharap supaya lebih berhati-hati.

"Bagi kes penipuan kerja sambilan dalam talian, masyarakat perlu bijak kerana dalam kes ini kita dapati setiap pemohon dikatakan perlu membuat pembayaran terlebih dahulu dan ia jelas satu penipuan," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Shafien berkata seramai sembilan anggota polis telah dikenakan tindakan buang kerja atas pelbagai kesalahan tatatertib dengan kesalahan paling banyak melibatkan kes pembabitan anggota dalam kegiatan dadah dan jenayah, tahun lepas.

"Pada tahun lepas juga, sebanyak 50 kertas siasatan dibuka manakala kes disiasat (121), tindakan tatatertib (63) dan kes dalam siasatan (58).

"Daripada jumlah itu, sebanyak 63 kes telah dikenakan hukuman termasuk amaran, denda, turun gaji dan buang kerja," katanya.

Mengenai penjualan sijil vaksinasi COVID-19 palsu, Shafien berkata setakat ini tiada tangkapan atau laporan baharu diterima dan kes membabitkan tangkapan seorang doktor bersama tiga individu lain pada 16 dan 17 Jan lepas sudah 50 peratus selesai.

"Polis sedang mendapatkan maklumat daripada pihak Pharmaniaga kerana daripada siasatan mendapati ada maklumat pihak terbabit boleh membantu.

"Kita juga mahu sekiranya ada masyarakat yang ragu-ragu dengan kad vaksinasi mereka supaya tampil membantu siasatan," katanya.

-- BERNAMA