KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor hari ini gagal dalam cubaan membatalkan perbicaraan kes rasuah RM1.25 bilion terhadapnya membabitkan projek solar hibrid dan menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai ketua pasukan pendakwaan dalam kes itu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas memutuskan pelantikan Sri Ram oleh Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas dibuat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Prosedur Jenayah.

BACA: Rosmah fail permohonan batalkan perbicaraan kes rasuah

Asas permohonan Rosmah untuk membatalkan perbicaraan rasuahnya bergantung kepada kesahihan surat pelantikan Sri Ram sebagai pegawai pendakwa.

Justeru, Mohamed Zaini berkata selepas menilai semua peruntukan, beliau mendapati pelantikan Sri Ram pada Ogos 2018, adalah sah.

“Merujuk Seksyen 50 Akta Tafsiran 1948 (1967) menyatakan mana-mana pihak berkuasa untuk melantik seseorang secara retrospektif,” katanya di Mahkamah Tinggi, di sini, pada Jumaat.

Dalam prosiding hari ini, Rosmah diwakili peguam Datuk Jagjit Singh, Datuk Akberdin Abdul Kadir serta Azrul Zulkifli Stork.

Sementara pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Ahmad Akram Gharib, Mohamad Mustafa P. Kunyalam dan Poh Yih Tinn.

Mengulas lanjut, hakim berkata pelantikan Sri Ram turut disokong oleh dua surat yang disahkan oleh peguam negara Tan Sri Idrus Harun, masing-masing bertarikh 8 Julai tahun lalu dan 21 Mei 2021.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan perbicaraan bersambung pada 5 Oktober ini di hadapan Mohamed Zaini.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi menetapkan 9 September lalu sebagai tarikh keputusan permohonan berkenaan, namun ditangguhkan pada hari ini.

Sri Ram sebelum ini berhujah, pelantikan beliau selaku pendakwa raya bermula 30 Ogos 2018, adalah sah.

Ini kerana Seksyen 50(b) Akta Tafsiran 1948/1967 (Akta 388) menyatakan mana-mana badan boleh melantik individu yang sesuai secara kebelakang untuk melaksanakan tugasnya.

Hujah Sri Ram, Seksyen 376(3) Kanun Prosedur Jenayah pula memberi kuasa kepada Peguam Negara melantik timbalan pendakwa raya untuk menjalankan tugas pendakwa raya.

Sehubungan itu, beliau berhujah, pelantikan yang dibuat oleh Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas adalah sah walaupun surat lantikan ditandatangani oleh Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun bertarikh 21 Mei lalu.

Sementara, Jagjit berpendapat pelantikan Sri Ram bertujuan untuk mengendalikan perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Razak dan tidak berkaitan dengan kes solar Rosmah.

Rosmah, 69, memfailkan permohonan itu selepas Mahkamah Rayuan pada 8 April membenarkan rayuannya untuk mendapatkan salinan surat pelantikan Sri Ram selepas pendakwaan bersetuju memberikannya kepada pasukan pembelaan.

BACA: Gopal Sri Ram dedah surat pelantikan sebagai Timbalan Pendakwa Raya kes Rosmah

BACA: Peguam Rosmah pertikai surat AG berhubung pelantikan Sri Ram sebagai TPR

BACA: Rosmah dakwa pelantikan Sri Ram untuk kendali kes rasuah hibrid solar tidak sah

Rosmah membawa perkara itu ke Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk mendapatkan surat pelantikan Sri Ram pada 19 Ogos tahun lalu.

Surat pelantikan itu tidak bertarikh pada atau sebelum 15 Nov 2018, hari Rosmah didakwa di mahkamah dan tidak ditandatangani oleh Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas.

Sebaliknya surat itu bertarikh 8 Julai tahun lepas dan ditandatangani oleh Peguam Negara ketika ini, iaitu Tan Sri Idrus Harun.

Pada 15 November 2018, Rosmah, 69, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, menerusi bekas pegawai khasnya, Datuk Rizal Mansor, bagi projek membekalkan tenaga solar bernilai RM1.25 bilion kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.