BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad persoal cara penyelesaian kes saman membabitkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Dalam tweetnya pagi Jumaat, beliau berkata terkejut dengan penyelesaian luar mahkamah pihak Kerajaan dan Mohamed Apandi dengan terma yang dakwanya telah dirahsiakan.


Beliau turut mempertikai mengapa terma penyelesaian dirahsiakan daripadanya yang merupakan saksi utama serta rakyat, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan pampasan.

"Saya tidak pun dimaklum tentang terma penyelesaian walaupun saya merupakan saksi utama.

"Saya menulis pada Peguam Negara. Saya tidak bersetuju dengan cara penyelesaian tersebut dibuat.

"Saya berasa kerajaan tidak sepatutnya tunduk memandang bahawa tindakan penamatan perkhidmatan Apandi mengikut semua urusan dan kuasa yang ada pada kerajaan. 

"Saya berpendapat penyelesaian memberi pampasan besar itu untuk seorang yang gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik adalah amat dikesali diwaktu mana sekalipun.

"Saya tidak mengaku salah dan bersedia untuk tuntutan Apandi diadili di mahkamah," tulis Dr Mahathir.


BACA: Mohamed Apandi tuntut ganti rugi atas penamatan khidmat sebagai Peguam Negara 

BACA: Mohamed Apandi mohon dapatkan dokumen antara Dr Mahathir dan kerajaan 

BACA: Apandi Ali gagal kawal perasaan, menangis ketika beri keterangan di mahkamah 

BACA: Kenyataan akhbar Mohamed Apandi pada 2016 timbulkan keraguan ke atas integritinya 

BACA: Apandi Ali berjaya dapat dokumen penamatan perkhidmatan sebagai Peguam Negara 

BACA: Mohamed Apandi sedia selesai kes saman Dr Mahathir, kerajaan secara mediasi 

BACA: Kes saman Mohamed Apandi terhadap Dr Mahathir dan kerajaan akan diteruskan 

BACA: Kerajaan setuju selesai saman pemecatan tidak sah bekas Peguam Negara, Mohamed Apandi - Peguam 


Jelas beliau lagi, penamatan perkhidmatan Apandi adalah mengikut prosedur dan tepat di sisi undang-undang dan bukan berniat jahat.

Beliau juga sebelum ini mempertahankan tindakannya dengan menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi menamatkan perkhidmatan Apandi sebagai Peguam Negara.

Pada 13 Oktober 2021, Mohamed Apandi memfailkan saman terhadap Dr Mahathir dan Kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua atas dakwaan bekas perdana menteri itu telah menyalahgunakan kuasanya sehingga menyebabkan beliau kehilangan jawatan tertinggi dalam Jabatan Peguam Negara, dua tahun lalu.

Namun kes saman berkenaan diselesaikan secara baik pada 13 April lalu dengan terma-terma penyelesaian yang tidak didedahkan kepada media.