SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati terdapat peningkatan kes penyelewengan dan penyeludupan diesel dan RON 95, susulan peningkatan dan perbezaan harga yang tinggi di negara jiran berbanding di Malaysia.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Azman Adam berkata selain mempergiatkan usaha pemantauan dan penguatkuasaan secara besar-besaran oleh 2,200 anggotanya di seluruh negara, pihaknya juga mengharapkan maklumat daripada orang awam untuk membanteras jenayah tersebut.

"Berlakunya peningkatan ketara ke atas jumlah kes dan nilai rampasan petrol RON 95 untuk tempoh lima bulan pertama tahun ini dengan 54 kes direkodkan melibatkan nilai rampasan RM365,116, berbanding sebanyak 49 kes melibatkan rampasan berjumlah RM96,787 untuk tempoh yang sama tahun lepas," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sementara itu bagi bahan api diesel, pihaknya mencatatkan 128 kes dengan nilai rampasan berjumlah RM3.06 juta, berbanding 52 kes melibatkan nilai rampasan berjumlah RM2.2 juta bagi tempoh sama.

Jelasnya antara faktor peningkatan kes tersebut adalah disebabkan perbezaan harga ketara antara industri dan subsidi (stesen minyak) serta harga di negara jiran yang lebih tinggi berbanding harga di dalam negara.

Beliau berkata penyelewengan dan penyeludupan diesel dan RON95 telah menjejaskan bekalan kepada pengguna dan membebankan kewangan kerajaan akibat subsidi yang terpaksa ditanggung.

Terdahulu, Azman meninjau sebuah lori yang dirampas pihak KPDNHEP kerana telah diubah suai, disyaki bagi mengisi bahan api bersubsidi sehingga 10,000 liter untuk diseludup ke negara jiran.

Menurutnya sebuah lori hanya dibenarkan untuk mengisi bahan api bersubsidi tidak lebih daripada 250 liter sekali isi.

"Modus operandi kebanyakan penyeludup adalah dengan mengisi dan menyedut semula bahan itu atau mengubah suai ruang simpanan bahan api kenderaan, selain ada pengusaha stesen minyak yang membenarkan mereka mengisi lebih daripada 250 liter," katanya.

KPDNHEP memberi amaran keras kepada semua pihak termasuk pengusaha stesen minyak supaya tidak terlibat dalam kegiatan itu dan tindakan tegas akan diambil, termasuk menutup operasi dan membatalkan lesen perniagaan mereka sekiranya didapati bersubahat.

Katanya, setakat ini sembilan stesen minyak telah diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan risikan sedang dijalankan ke atas beberapa stesen minyak.

-- BERNAMA