BESUT: Pengunjung pantai di daerah ini dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika melakukan aktiviti air berikutan penemuan obor-obor Irukandji atau lebih dikenali sebagai obor-obor merah.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Besut, Kapten (PA) Ramlan Ros Wahid berkata, ia susulan insiden seorang lelaki dan kanak-kanak perempuan masing-masing berusia 32 dan lapan tahun disengat haiwan tersebut ketika mandi di Pantai Bukit Keluang di sini, Selasa lalu.

Menurut Ramlan Ros, kedua-dua kejadian itu berlaku pada jam 2.30 dan jam 6.30 petang.

"Kedua-dua mangsa menunjukkan simptom kemerahan pada kulit akibat sengatan obor-obor itu dan rawatan awal telah diberikan oleh penyelamat pantai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Bagaimanapun kanak-kanak terbabit tidak mengalami kecederaan serius dan dibenarkan pulang manakala lelaki berkenaan dihantar ke Hospital Daerah Besut untuk rawatan lanjut selepas mengalami sesak nafas," katanya di sini, pada Khamis.

Ramlan Ros berkata, kedua-dua kes tersebut merupakan kejadian sengatan obor-obor yang pertama dilaporkan di pantai berkenaan, pada tahun ini.