Peguam bela kepada Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah bahawa 99.9 peratus wang digunakan anak guamnya untuk tujuan kebajikan dan bukan dibelanjakan untuk dirinya sendiri.

Menurut Shafee, sebanyak 13.7 peratus daripada wang itu pula disalurkan untuk kebajikan untuk pertubuhan bukan kerajaan (NG0).

Beliau berkata, 0.1 peratus daripada wang digunakan bagi membaiki kediaman Najib di Jalan Langgak Duta dan Pekan bagi kemudahan orang awam datang ke rumah bekas Perdana Menteri itu.

Shafee berkata demikian ketika rayuan menangguhkan mitigasi dihadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Mohd Nazlan bagaimanapun menolak permohonan penangguhan itu dan meminta pihak pembelaan dan pendakwaan meneruskan mitigasi terhadap Najib.

Ketika ini, mitigasi masih dijalankan oleh pihak pendakwaan sebelum Hakim memutuskan hukuman yang akan dijatuhkan terhadap Ahli Parlimen Pekan itu.

BACA: LAPOR LANGSUNG Najib bersalah atas tujuh pertuduhan

Najib pada Selasa didapati bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan berhubung dana RM42 juta dari SRC International Sdn Bhd.‬

‪Keputusan disampaikan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Najib didapati bersalah di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mahkamah mendapati pasukan pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pasukan pendakwaan bagi tuduhan salah guna kuasa.