Kerajaan menggesa semua pihak agar terus meletakkan kepercayaan kepada sistem perundangan serta kehakiman negara sebagai intitusi yang bebas dan berkecuali.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan menghormati keputusan mahkamah yang mensabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan itu.

"Saya memahami perasaan dan sentimen rakan-rakan terhadap keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah.

"Namun begitu, saya ingin menegaskan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan sentiasa menegakkan prinsip kedaulatan undang-undang," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan salah guna kuasa berkaitan kes SRC International Sdn Bhd.



Bagi tiga kesalahan pecah amanah dan tiga lagi kesalahan pengubahan wang haram, setiap pertuduhan membawa hukuman penjara 10 tahun.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak, namun tiada denda dikenakan untuk pertuduhan pengubahan wang haram.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kerajaan juga menghormati hak beliau (Najib) untuk merayu atas hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah.

"Sama-samalah kita beri ruang kepada proses undang-undang untuk memastikan keadilan dapat ditegakkan," ujarnya.

BACA: Kes SRC: Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun, denda RM210 juta

B
ACA:
Kes SRC: 99.9 peratus wang diguna untuk kebajikan, bukan dibelanja Najib - Shafee

B
ACA: Kes SRC: Pasukan pembelaan Najib mohon kemuka rayuan pada Isnin