KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini berhubung kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, ini membuktikan rakyat berkuasa dan telah membuat keputusan pada 2018 bagi memastikan badan kehakiman bebas serta negara bersih daripada rasuah.

"Keputusan ini membolehkan pendakwaan dijalankan secara profesional dan badan kehakiman membuat keputusan tegas mengikut fakta, bukan mengikut telunjuk politik pihak yang memegang kuasa, yang kita alami selama puluhan tahun.

"Apabila rakyat memutuskan dengan bijak dan anak muda memilih untuk menentukan masa depan mereka, iklim dan suasana politik boleh berubah," katanya menerusi satu kemas kini di Facebook.

Beliau turut meluahkan penghargaan kepada barisan hakim yang disifatkan berani dan berwibawa dalam membuat keputusan.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan ke atas Najib berhubung penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Kes SRC: Mahkamah kekal sabitan dan hukuman, Najib dipenjara 12 tahun, denda RM210 juta

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat ketika membacakan keputusan lima panel hakim itu berkata, Mahkamah tidak mendapati sebarang kesalahan dalam penghakiman yang dibuat Hakim Bicara ketika itu iaitu Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.