KUALA LUMPUR:Polis Diraja Malaysia (PDRM) memburu dua suspek lelaki bagi membantu siasatan kes pengatur cara komputer yang cedera ditembak di hadapan rumahnya di Bandar Kinrara, Puchong, di sini, pada 21 Sept lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata suspek yang diburu dikenali sebagai Loo Lai Ming atau Datuk Michael, 40, dan Chong Aik Boon atau Manco@Roy, 48.

Beliau berkata Loo beralamat terakhir di Kondominium Desa Gembira, di sini manakala Chong beralamat di Kondominium Bukit Gembira, di sini.

"Selain dua suspek yang sedang diburu, polis turut menahan 10 individu yang terdiri daripada sembilan lelaki dan seorang perempuan warga asing.

"Kesemua mereka ditahan antara hari kejadian sehingga hari ini dan kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan," katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, di sini semalam.


Huzir berkata siasatan awal di tempat kejadian menjumpai sebutir anak peluru dan mangsa dipercayai ditembak seorang suspek lelaki menaiki motosikal yang mengekori mangsa yang menaiki kereta untuk pulang ke rumah bersama isterinya.

"Apabila keluar daripada kereta untuk membuka pagar, mangsa dapati suspek telah memberhentikan motosikalnya dan melepaskan tembakan yang mengenai rusuk kiri mangsa.

"Motif kejadian dipercayai berkaitan sindiket pinjaman wang tanpa lesen along yang didalangi sindiket berkenaan," katanya.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, ASP Mohd Aizam Mohamad Razif di talian 014-3372711 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis (IPD) Serdang  (03-80742324).

Sebelum ini, Bernama melaporkan seorang lelaki mengalami kecederaan selepas ditembak di hadapan rumahnya di Jalan BK 5/3 Bandar Kinrara, Puchong dalam kejadian pukul 12.45 tengah hari pada 21 Sept.

BACA: Lelaki ditembak di hadapan rumah di Bandar Kinrara

Dalam perkembangan lain, Huzir berkata seramai 19 suspek telah ditahan bagi membantu siasatan kes ahli perniagaan dan pengawal peribadinya yang cedera ditembak dua suspek menaiki sebuah motosikal di Jalan Sultan Abdul Samad, Banting, dekat sini.

Beliau berkata kesemua yang ditahan juga direman tujuh hari dan kejadian dipercayai berpunca daripada permusuhan kumpulan kongsi gelap.

Jumaat lepas, seorang ahli perniagaan dan pengawal peribadinya cedera di dada dan beberapa bahagian badan akibat ditembak dua suspek menaiki sebuah motosikal dalam kejadian di Jalan Sultan Abdul Samad, Banting.

Kejadian berkenaan turut menyebabkan tiga pelajar sekolah menengah cedera akibat dirempuh kereta jenis BMW yang dinaiki kedua-dua mangsa.

-- BERNAMA