SEREMBAN: Negeri Sembilan merekodkan sebanyak 8,921 kes penipuan pelbagai modus operandi membabitkan kerugian melebihi RM220 juta bagi tempoh 2018 hingga Jun 2022, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dimaklumkan.

Menteri Besar Aminuddin Harun berkata Seremban mencatat kerugian tertinggi iaitu sebanyak RM144.5 juta diikuti Nilai (RM30.1 juta), Port Dickson (RM21.7), Kuala Pilah (RM10.9 juta), Tampin (RM9.2 juta), Jempol (RM7.2 juta), Rembau (RM2.7 juta) dan Jelebu (RM2.4 juta).

"Bagi tempoh berkenaan kita dapati kebanyakan mangsa kes penipuan adalah lingkungan umur 15 hingga 40 tahun. Ia termasuk kes melibatkan tipu pindah milik tanah, pelaburan tak wujud dan Macau Scam.

"Justeru pelbagai usaha dilaksanakan untuk menyebar luas ilmu pengetahuan kepada masyarakat bagi mengelakkan dari menjadi penyumbang kepada peningkatan statistik mangsa penipuan, termasuk melalui pameran, ceramah dan hebahan daripada media massa," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Chew Seh Yong (PH-Lobak) yang ingin tahu jumlah kes penipuan di negeri ini sejak 2018 hingga 2022 dan kerugian dicatatkan.

Aminuddin turut mengingatkan orang ramai supaya tidak tertipu dengan panggilan yang kononnya daripada agensi kerajaan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri atau mana-mana kementerian, selain sentiasa menyemak dengan badan yang berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 164 kes bunuh diri direkodkan di negeri ini bagi tempoh 2018 hingga Jun lepas dengan jumlah tertinggi mangsa adalah dalam kalangan individu berumur 21 hingga 40 tahun.

Sehubungan itu, beliau meminta orang terdekat terutama keluarga dan rakan untuk peka dan prihatin kepada tanda awal kemurungan serta perubahan tingkah laku ahli keluarga.

Menurutnya majikan juga bertanggungjawab mewujudkan persekitaran positif yang menyokong kesihatan mental pekerja, selain komuniti dan media yang tidak terkecuali berperanan mencegah kes bunuh diri.

Beliau menjawab soalan Chew mengenai jumlah kes tersebut sejak 2018 hingga kini dan langkah mengurangkan kejadian tersebut.

-- BERNAMA