PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini menetapkan 21 Okt untuk mendengar permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak dan anak lelakinya Datuk Mohd Nazifuddin bagi menangguhkan pelaksanaan penghakiman terus yang diperoleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap mereka berhubung tunggakan cukai pendapatan.

Peguam Wee Yeong Kang, yang mewakili bekas Perdana Menteri itu dan Mohd Nazifuddin, berkata prosiding pendengaran tersebut akan dikendali melalui aplikasi Zoom.

"Kami memohon penangguhan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu sementara menunggu kebenaran bagi merayu ke Mahkamah Persekutuan," katanya kepada Bernama.

Perkara itu disebut semasa pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mariam Hasanah Othman.

Wee hadir pada prosiding itu manakala Peguam Kanan Hasil Muhammad Nabil Abdul Halim dan Siti Aisyah Yusoff @ Md Nasir mewakili LHDN.

Pada 9 Sept lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman terus bagi menuntut tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Mohd Nazifuddin.

Pada hari yang sama, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil membenarkan permohonan penangguhan sementara Najib dan Mohd Nazifuddin dengan syarat mereka memfailkan notis usul dan permohonan penangguhan selewat-lewatnya minggu ini.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan sesuatu kes secara terus tanpa memanggil saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan.

Mereka telah mengemukakan rayuan terhadap kedua-dua keputusan yang dibuat di Mahkamah Tinggi berasingan.

Pada 22 Julai tahun lepas, Hakim Datuk Ahmad Bache membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadap Najib dalam samannya bagi menuntut tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion bagi tempoh antara 2011 dan 2017.

Pada 6 Julai tahun lepas, Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim memerintahkan Mohd Nazifuddin membayar RM37.6 juta selepas membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadapnya bagi menuntut tunggakan cukai bagi tempoh antara 2011 dan 2017.

Pada 4 Feb lepas, LHDN mengeluarkan notis kebankrapan terhadap Najib susulan kegagalan beliau membayar tunggakan itu kerana penghakiman terus tersebut tidak ditangguhkan manakala Mohd Nazifuddin turut mendapat notis serupa pada 30 April lepas, juga kerana gagal melunaskan tunggakan sebagaimana yang diarah oleh Mahkamah Tinggi.

Najib dan Mohd Nazifuddin kemudian memfailkan notis usul secara berasingan pada 14 Sept lepas bagi memohon kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan mereka.

Mereka meminta Mahkamah Persekutuan memutuskan sembilan isu perundangan.

-- BERNAMA