KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu Yayasan Akalbudi milik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah memberikan sebanyak RM360,000 dalam bentuk cek kepada syarikat TS Consultancy & Resources yang ditubuhkan pada 2015 bagi menjalankan soal selidik dan kajian pengundi.

Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Khairudin Kilau, 44 tahun, berkata, bekas Timbalan Perdana Menteri itu telah menyerahkan sebanyak RM100,000 kepada pemilik syarikat berkenaan, Sabri Said, pada 20 Ogos 2015.

Pembayaran tersebut, menurut saksi pendakwaan ke-99 itu, diserahkan melalui Penasihat Khas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar, untuk dimasukkan ke akaun TS Consultancy & Resources.

Mahkamah Tinggi turut diberitahu, syarikat berkenaan ditubuhkan bagi program pendaftaran pengundi di lapangan, dengan kerjasama UMNO, yang mana pada awal penubuhannya, ia menerima dana daripada pejabat parti itu.

Jelas Penolong Kanan Penguasa SPRM itu, pada 2016, Wan Ahmad telah menghantar memo ke Pejabat Timbalan Perdana Menteri bagi memohon dana sebanyak RM260,000 lagi daripada Ahmad Zahid.

“Selang beberapa hari, pegawai khas Ahmad Zahid, Mejar Mazlina Mazlan@Ramly telah menghubungi Wan Ahmad menyatakan cek telah sedia dan Mejar Mazlina telah menyerahkan sekeping cek Affin Bank Berhad bernombor 538086 bertarikh 25 November 2016 berjumlah RM260,000.

“Cek ini diserahkan kepada Jasni Majid untuk dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank TS Consultancy & Resources,” katanya ketika membacakan penyataan bertulis di sini hari ini.


Jasni merupakan pemilik bersama TS Consultancy & Resources.

Semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt, Khairudin turut memberitahu telah mendapatkan penyata akaun TS Consutancy & Resources daripada daripada CIMB Bank, cek asal Affin Bank Berhad bernombor 526544 bertarikh 20 Ogos 2015 dan cek asal Affin Bank Berhad bernombor 538086 bertarikh 25 November 2016.

Imej-imej cek daripada Affin Bank Berhad bagi bayaran kepada TS Consultancy & Resources turut diterima, kata saksi terakhir kes itu.

Sebelum ini, saksi pendakwaan pertama, Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Pinny Asnan memberitahu mahkamah bahawa, objektif penubuhan Yayasan Akalbudi adalah untuk menerima dan mentadbir dana bagi membasmi kemiskinan, berkaitan dengan program pembasmian kemiskinan.

Dalam perkembangan sama, pihak pendakwaan dijangka menutup pertuduhan ke atas Presiden UMNO itu hari ini selepas pemeriksaan balas terhadap saksi terakhir.

Ahmad Zahid, 68 tahun, menghadapi 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya bagi pecah amanah (CBT), lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.