KUALA TERENGGANU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengesan 8,669 kes kesalahan cermin gelap menjadikan ia kesalahan paling tinggi dikesan di negeri itu sepanjang operasi dijalankan tahun lalu.

Pengarahnya, Zulkarnain Mat Yasin berkata, kebanyakan pemilik kenderaan yang ditahan mengakui faham syarat peratusan ketelusan cahaya yang ditetapkan namun memberi pelbagai alasan tidak munasabah.

Ada yang memberikan alasan cuaca panas dan faktor keselamatan barangan yang disimpan dalam kenderaan, namun ia dilihat tidak munasabah kerana terdapat jenis cermin gelap atau tinted kalis haba walaupun tidak kalis cahaya.

"Alasan yang diberikan ini tidak kukuh malah menunjukkan ia lebih kepada faktor imej dan hanya inginkan kereta kelihatan cantik," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Ahad.

Selain itu, beliau memberitahu, terdapat juga pengguna terpengaruh dengan label 'lulus JPJ' yang dipamerkan kedai aksesori kenderaan.

Namun katanya, pihak JPJ tidak pernah meluluskan mana-mana jenama tinted kerana ia bergantung kepada jenis tinted dan cara pemasangan.

"Pemasangan tinted perlu mematuhi 70 peratus ketelusan cahaya bagi cermin depan atau windscreen, 50 peratus (pemandu/penumpang) serta 0 atau pelbagai peratus bagi cermin penumpang belakang dan cermin belakang.

"Jika dipasang pada cermin yang sedia ada gelap (factory made) ia akan menambahkan lagi peratusan ketelusan cahaya sekaligus menjadikan cermin semakin gelap," ujar beliau.

Zulkarnain berkata, selain cermin gelap, kesalahan tiada lesen memandu merupakan kesalahan kedua tertinggi (6,504 kes), lesen kenderaan motor tamat tempoh (6,384), tiada perlindungan insurans (4,463), nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (3,687) dan selebihnya melibatkan kes-kes di pusat pemeriksaan Puspakom yang tamat tempoh.

"Sebanyak 224,760 kenderaan diperiksa sepanjang tahun lalu. Daripada jumlah itu sebanyak 29,949 kenderaan diambil tindakan melibatkan 6,943 buah motosikal, motokar (9,700), bas dan lain-lain kenderaan (2,057).

"Jumlah notis saman JPJ (JPJP22) dikeluarkan melibatkan 33,575 kes, notis saman JPJ (P23) sebanyak 177 dan lain-lain notis sebanyak 26,270," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, JPJ Terengganu merekodkan kutipan hasil sebanyak RM71.6 juta sejak Januari hingga November tahun lalu.

Menurutnya, jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding sebanyak RM61.3 juta pada 2021.

"Antara faktor kenaikan kutipan itu termasuk peningkatan tahap kesedaran pengguna dari segi pembayaran hasil dan tender yang dikeluarkan," kata beliau. -Sinar Harian