JOHOR BAHRU: Polis Johor mengesahkan pihaknya akan memanggil aktivis Badrul Hisham Shaharin bagi membantu siasatan berhubung kesalahan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

Ahli politik yang lebih dikenali sebagai Che'gu Bard itu akan memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing hari ini, menurut Ketua Polis Daerah Supt Cyril Edward Nuing.

Katanya, pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung hantaran di laman sosial Facebook Che'GuBard Original pada 17 Nov lalu.

Sehubungan itu, polis akan menjalankan siasatan di bawah Seksyen 4a (1) Akta Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Siasatan dijalankan IPD Mersing, hari ini. Lelaki Melayu dengan nama Che'gu Bard tersebut akan datang ke JSJ (Jabatan Siasatan Jenayah) Mersing untuk beri keterangan bagi membantu siasatan.

"Ia berhubung kesalahan posting (hantaran di media sosial) yang dibuat beliau semasa dalam tempoh kempen pilihan raya baru-baru ini.

"Pegawai saya memaklumkan, siasatan dibuat mengikut seksyen itu. Kami ada 'powers of investigation' untuk panggil individu itu ke balai polis bagi siasatan," katanya.

Cyril berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perhimpunan bulanan peringkat negeri Johor yang dihadiri Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini.

Sementara itu, Che'gu Bard dalam hantaran terbaru di media sosialnya memaklumkan akan hadir memberi keterangan di IPD Mersing petang ini.

"Saya telah dimaklumkan oleh Inspektor Sherra dari IPD Mersing bahawa Polis Diraja Malaysia telah membuka kertas siasatan ke atas saya berkaitan isu yang saya bangkitkan - perlombongan emas, perlombongan pasir dan beberapa perkara mengenai bagaimana khazanah Mersing dipunggah keluar dan beri kesan negatif kepada rakyat Mersing.

"Sebagai warga bertanggungjawab, maka pada 30 Nov 2022, 2.30 petang, saya akan berada di IPD Mersing untuk disoal siasat," katanya.