KUALA LUMPUR: Faktor hari raya yang jatuh pada 2 Mei dan bukan pada 3 Mei seperti yang tercatat dalam kalender, mungkin antara punca mengapa kebanyakan jalan raya dan lebuh raya mengalami kesesakan luar biasa pada musim perayaan Aidilfitri kali ini.

Ditambah pula dengan faktor sambutan hari raya kembali seperti biasa selepas dua tahun dibelenggu dengan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) susulan wabak COVID-19, ia dilihat menambahkan lagi jumlah kenderaan dan pengguna jalan raya secara serentak.

"Saya percaya ramai yang tidak dapat mengikut Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) apabila tarikh Aidilfitri bertukar dari 3 Mei ke 2 Mei. Sebagai contoh, ada yang merancang pulang ke kampung pada 2 Mei, terpaksa tukar rancangan perjalanan ke malam 1 Mei selepas pengumuman hari raya.

"Ini ditambah pula dengan faktor ramai yang mahu mengambil kesempatan 'lepas geram' menyambut hari raya selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian," kata Penolong Jurutera Awam, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Muhaizan Ishak, ketika dihubungi Astro AWANI, malam ini.

Trafik di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak (KLK) menuju pulang ke dijangka mula meningkat hari ini, dan ia dijangka berterusan sehingga Ahad ini.

BACA: Trafik mula sesak hari ini, LLM nasihat patuh TTA, guna jalan alternatif

Sehubungan itu, LLM menasihati orang ramai supaya mematuhi jadual TTA yang dikeluarkan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bagi mengelakkan kesesakan.

Bagi pengguna dari utara, mereka boleh menggunakan jalan alternatif seperti Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) sebagai salah satu penyelesaian kepada kesesakan.